suria

Husam Nafi Dinar Jadi Mata Wang Kedua

KOTA BARU: Kerajaan Kelantan menafikan dinar emas dan dirham perak akan dijadikan sebagai mata wang kedua untuk negeri itu sebaliknya mata wang syariah itu boleh dijadikan alternatif kepada penggunaan sistem pertukaran barang.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata banyak pihak kini keliru dengan pelancaran mata wang syariah tersebut sedangkan ia adalah pengenalan kepada sistem pertukaran barang yang menggunakan dinar dan dirham itu.

"Beberapa laporan agak tidak tepat sehingga menimbulkan kekeliruan dan saya tidak nampak kenapa perkara ini perlu diperbesar-besarkan selepas Kerajaan Kelantan memperkenalkannya kerana ia telah digunakan sejak zaman Islam menguasai dunia lagi," katanya kepada pemberita di sini, hari Jumaat.

Semalam, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melancarkan mata wang syariah dinar dan dirham yang akan digunakan dalam transaksi seharian termasuk pembayaran gaji kepada kakitangan awam.

Kira-kira 1,000 peniaga di bandar ini dilaporkan bersetuju untuk menerima dinar emas dan dirham perak dalam transaksi perniagaan mereka.

Dinar dan dirham itu dikeluarkan oleh anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Kelantan Golden Trade.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin yang memberikan reaksi berhubung perkara itu, berkata mengikut undang-undang, pengeluaran mata wang sama ada alternatif atau tidak, adalah di bawah bidang kuasa mutlak Kerajaan Persekutuan dan Bank Negara Malaysia (BNM) kerana ia membabitkan urusan dasar serta pengurusan kewangan Malaysia.

Beliau berkata tiada peruntukan undang-undang yang membolehkan kerajaan negeri mengeluarkan mata wang, tidak timbul soal mata wang alternatif atau tidak walaupun hanya untuk urusan jual beli di negeri ini.

Katanya Kementerian Kewangan dan BNM akan mengkaji tindakan yang boleh diambil berhubung perkara itu.

Husam berkata, pihaknya menyedari dinar dan dirham yang dikeluarkan di negeri ini tidak boleh menggantikan mata wang sedia ada.

"Mata wang syariah tersebut hanya boleh digunakan apabila kedua-dua pihak bersetuju untuk menukar barangan atau perkhidmatan berdasarkan nilai semasa dinar dan dirham.

"Dahulu Orang Asli tidak menggunakan duit, mereka menggunakan hasil hutan seperti petai atau tongkat ali untuk ditukar dengan tembakau serta garam dan prinsipnya adalah sama dan cara tersebut telah digunakan secara meluas sejak beribu tahun dahulu sebelum kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain