suria

Duit Raya RM350 Untuk Peneroka Felda, RM150 Untuk Yang Diluar Felda

KUALA LUMPUR: Seramai 101,391 peneroka Felda akan menerima duit raya RM350 seorang manakala dan 11,244 peneroka yang tidak bersama Felda akan diberi RM150 seorang.

Ketika mengumumkan demikian hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pembayaran itu akan dibuat sebelum hari raya Aidilfitri ini di semua rancangan Felda di seluruh negara.

"Pemberian duit raya ini melibatkan bayaran berjumlah RM37.14 juta, terdiri RM35.47 juta bagi yang bersama Felda dan RM1.67 juta bagi yang tidak bersama Felda," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Najib berkata hampir 10 peratus daripada keseluruhan 112,635 peneroka Felda, atau seramai 11,244 peneroka, dikategorikan sebagai tidak bersama Felda kerana mereka tidak menanam semula menerusi agensi itu.

"Saya berharap pemberian duit raya ini sedikit sebanyak akan dapat meringankan bebanan kewangan keluarga peneroka dalam membuat persiapan menjelang ketibaan Syawal.

"Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru peneroka yang tidak bersama Felda agar kembali bersama dengan agensi ini untuk memaju dan memakmurkan lagi tanah-tanah rancangan," kata Perdana Menteri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain