suria

Tony Pua Terima Ugutan, Peluru Hidup

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua menerima ancaman berupa nota ugutan bersama sebutir peluru hidup yang dimuatkan dalam satu sampul surat pada petang Rabu.

Kandungan surat berkenaan dijumpai oleh pembantu pejabat Pua di Damansara kira-kira pukul 4.30 petang.

Justeru, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Damansara Utama oleh pembantu berkenaan dengan diiringi Pua, dan Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng yang juga Peguam DAP.

"Saya dan pembantu saya itu juga dipanggil memberi keterangan kepada pegawai penyiasat malam tadi," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Khamis.

Jelasnya surat berkenaan dialamatkan ke pejabatnya di Damansara.

"Cop pada sampul surat berkenaan menunjukan ia dihantar dari Tangkak, Johor. Di dalamnya terkandung dua barang iaitu surat ugutan dan peluru yang dibalut dengan dua helai kertas," katanya.

Polis juga mengesahkan peluru itu adalah buatan tempatan dan ia untuk kegunaan senapang M16.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamad mengesahkan telah menerima laporan polis berkenaan kejadian itu dan pihaknya sedang menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

Menurut Pua, beliau tidak menolak kemungkinan ancaman berkenaan berpunca daripada tindakannya pada 26 Julai lalu yang meminta kerajaan Selangor memansuhkan dasar pemberian diskaun kepada bumiputera bagi pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah di negeri itu.

"Saya tak syak sesiapa, tapi saya yakin ia berpunca daripada cadangan saya itu," katanya.

Sambil menyifatkan tindakan berkenaan hanya akan dilakukan oleh individu yang tidak bermoral dan penakut, Pua bagaimanapun akan lebih berhati-hati terutamanya ancaman berkenaan bukan sahaja ditujukan kepadanya malah melibatkan keluarga.

"Sudah pasti keluarga saya bimbang, saya akan tingkatkan kawalan keselamatan bagi mengelakan perkara tak diingini berlaku," katanya.

Dalam pada itu, Tony yang juga Penasihat Ekonomi kepada Setiausaha Agung DAP berkata, beliau menafikan mahu menghapuskan hak keistimewaan kaum bumiputera.

"Cadangan saya supaya diskaun bagi rumah mewah dimansuhkan agar wang berkenaan dapat digunakan bagi membantu golongan bumiputera yang berpendapatan rendah.

"Niat saya untuk bantu bumiputera agar duit berkenaan dapat disalurkan kepada golongan yang lebih memerlukan," katanya.

Selain itu beliau juga menyatakan kesediaan untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak bagi membincangkan mengenai isu berkenaan.

"Kalau tak setuju dengan cadangan itu, saya sedia untuk bersemuka bagi menelitinya... kita boleh berbincang untuk menambahbaik idea berkenaan demi kepentingan golongan bumiputera berpendapatan rendah," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain