suria

Polis Tahan Lelaki Bantu Kes Culik Kanak-Kanak Perempuan

IPOH: Polis mengesahkan menahan seorang lelaki dipercayai boleh membantu dalam siasatan berhubung kes culik seorang kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun di Taman Meru di sini pada 4 Ogos lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Zukifli Abdullah berkata lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Rapat, di sini pada pukul 12.30 tengah malam Rabu.

Lelaki itu ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut tetapi beliau enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan, katanya ketika dihubungi, Khamis.

Dalam kejadian itu, seorang kanak-kanak perempuan dilarikan seorang lelaki dengan sebuah kereta di Taman Meru, ditemui selepas dua jam diculik iaitu ditinggalkan di Taman Kinta, Gopeng kira-kira 45km dari tempat dia diculik.

Kejadian berlaku pada 8.30 malam, ketika kanak-kanak itu dalam perjalanan pulang selepas selesai mengaji di rumah jirannya.

Seorang lelaki yang menaiki sebuah kereta telah menghampiri kanak-kanak itu sebelum menarik mangsa masuk ke keretanya.

Mangsa ditemui oleh seorang lelaki pada 10.45 malam pada hari yang sama dan menghantarnya ke Balai Polis Gopeng. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain