suria

Malaysia Sumbang US$1 Juta Kepada Pakistan Bantu Mangsa Banjir

PUTRAJAYA: Malaysia menyerahkan sumbangan US$1 juta kepada Pakistan bagi membantu negara itu menghadapi banjir terbesar yang pernah dialami dalam tempoh 80 tahun.

Cek bagi sumbangan itu diserahkan oleh Timbalan Menteri Luar Datuk Richard Riot kepada pemangku Kuasa Usaha, Suruhanjaya Tinggi Pakistan di Kuala Lumpur, Dr Imtiaz A. Kazi di Wisma Putra di sini, Khamis.

"Apa yang kita hulurkan kepada Pakistan ini menunjukkan negara kita amat prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh rakyat di Pakistan akibat banjir paling buruk dalam sejarah Pakistan," kata Riot kepada pemberita.

Wisma Putra melancarkan satu tabung bagi membolehkan rakyat Malaysia menyalurkan bantuan kewangan kepada mangsa bencana banjir di Pakistan.

Mereka yang ingin menyumbang kepada tabung itu boleh berbuat demikian melalui cek atas nama "Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri".

Mengenai Yong Vui Kong, rakyat Malaysia yang dihukum mati di Singapura, Riot berkata bahawa sehingga hari ini Singapura tidak memberi sebarang jawapan berhubung surat pengampunan yang ditulis dan diserahkan sendiri oleh Menteri Luar Datuk Anifah Aman kepada rakan sejawatannya di Singapura George Yeo pada 20 Julai lalu di Hanoi, Vietnam.

"Kita hormati undang-undang negara asing dan kita tidak boleh campur tangan dengan undang-undang mereka. Kita hanya boleh memohon pengampunan.

"Sama ada pengampunan itu dibenarkan atau tidak, terpulang kepada kerajaan Singapura," katanya.

Yong, 22, didapati bersalah pada 7 Jan 2009 kerana mengedar 47 gram dadah jenis diamorfina iaitu kesalahan berat di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah Singapura.

Dia telah memfailkan petisyen kepada Presiden Singapura untuk pengampunan tahun lepas tetapi telah ditolak pada 1 Disember lalu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain