suria

KSM Bantu 44,000 Pekerja Dapat Kerja

BUTTERWORTH: Kementerian Sumber Manuasia (KSM) telah membantu menempatkan lebih 44,000 orang dalam pelbagai bidang pekerjaan sejak Januari hingga 9 Ogos lepas, kata Menterinya Datuk Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata, mereka berjaya memperoleh pekerjaan melalui aktiviti yang dirancang dan dilaksanakan KSM melalui portal JobsMalaysia, Program Penempatan Pekerjaan dan temuduga terbuka.

"KSM menyasarkan untuk membantu menempatkan seramai 100,000 orang pada penghujung tahun ini dan saya percaya ia mampu dicapai seandainya pihak majikan terus menyokong setiap aktiviti yang kita laksanakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Penempatan Pekerjaan 3P 1Malaysia di sini pada Khamis.

Lebih 3,000 peluang pekerjaan ditawarkan pada program penempatan pekerjaan 3P 1Malaysia anjuran Jabatan Tenaga Kerja yang diadakan di padang kilat Tenaga Nasional Berhad TNB itu.

Sementara itu, Subramanian berkata, kadar pemberhentian kerja di Malaysia bagi tahun ini adalah rendah berbanding tahun 2008.

"Pada tahun 2008 seramai 37,000 orang dilaporkan hilang pekerjaan. Bagaimanapun pada tahun ini hanya 6,000 orang diberhentikan kerja dan ini menunjukkan ekonomi negara bertambah baik serta semaikn meningkat," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain