suria

Kopitiam Di Pahang Belum Diberi Sijil Halal

KUANTAN: Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) belum mengeluarkan pensijilan halal Malaysia kepada mana-mana premis makanan kopitiam di negeri itu.

Timbalan Pengarah JAIP Datuk Ghazali Abdul Aziz berkata jabatan itu menerima banyak permohonan untuk pengesahan berkenaan namun ia tidak dapat dilaksanakan kerana pengusaha restoran terbabit mengabaikan banyak perkara seperti sumber makanan yang masih diragui status halalnya.

"Masalah itu banyak bergantung kepada pembekal sumber makanan untuk kopitiam di mana pemilik kopitiam itu sendiri pun tidak tahu sama ada sumber makanan contohnya ayam yang dibekalkan untuknya sudah dapat sijil halal atau belum," katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan Seminar Penghayatan Ramadan dan melancarkan Institut Kefahaman dan Pengembangan Al-Quran dan As-Sunnah di sini Khamis.

Ghazali berkata pembekal sumber makanan kepada restoran berkenaan seharusnya terlebih dahulu memperoleh logo halal daripada JAIP dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sekiranya belum ada.

"Sikap berlengah-lengah oleh pembekal terbabit menyebabkan kelewatan pihak JAIP mengeluarkan sijil halal kepada kopitiam," katanya.

Ghazali berkata 90 peratus hotel di Pahang telah diberi pensijilan halal oleh JAIP. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain