suria

JAKIM Maklum 34 Negara Luar Senarai Hotel Halal Di Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah memaklumkan kepada 34 ketua perwakilan negara luar yang terdapat di Malaysia mengenai senarai 22 hotel yang telah mendapat sijil halal di sekitar Wilayah Persekutuan (WP).

Ketua Pengarah Jakim Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata Jakim telah mengeluarkan pekeliling bagi kesemua negara Islam tersebut melalui pejabat kedutaan dan Suruhanjaya Tinggi mereka, bermula Rabu.

"Jakim telah memaklumkan dan meminta kerjasama kedutaan tersebut bahawa Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) merupakan badan kerajaan yang diberi tanggungjawab bagi mengeluarkan sijil halal di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini Khamis.

Sebanyak 22 hotel dan 51 dapur di sekitar WP Kuala Lumpur (KL) telah diberikan pensijilan halal Malaysia oleh Jakim sehingga 9 Ogos lepas.

Wan Mohamad berkata pihak Jakim menggalakkan para perwakilan agar membuat pilihan ke hotel-hotel yang disahkan halal oleh Jakim dan JAIN bagi menganjurkan majlis keraian dan majlis berbuka puasa.

Beliau berkata orang ramai juga boleh mendapatkan senarai hotel yang telah disahkan halal oleh Jakim di sekitar WP KL atau JAIN bagi hotel-hotel di peringkat negeri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain