KUALA LUMPUR: Dengan kelajuan 160 km sejam dan hanya mengambil masa selama dua jam untuk perjalanan antara Kuala Lumpur dan Ipoh, Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) diyakini akan menjadi pengangkutan alternatif terbaik kepada warga kota untuk pulang berhari raya nanti.Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata sepanjang tempoh promosi sehingga Februari tahun depan, tambang perjalanan sehala antara Kuala Lumpur dan Ipoh ialah RM30 seorang. "Diharapkan rakyat akan menikmati perkhidmatan yang diberikan pada masa promosi yang meliputi sambutan Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Krismas dan Tahun Baru Cina akan datang," katanya.Terdahulu, beliau melancarkan perkhidmatan itu di Stesen Kuala Lumpur di sini Khamis.Beliau berkata ETS yang bernilai RM48 juta itu merupakan tren pertama yang dilengkapi sistem kamera litar tertutup (CCTV) sebagai langkah keselamatan, selain menyediakan kemudahan seperti kafeteria dan tandas.Katanya tren buatan Korea yang mempunyai enam gerabak setiap unit itu boleh membawa seramai 350 penumpang dalam satu hala perjananan dan dapat menjimatkan perjalanan kepada dua jam berbanding menggunakan bas ekspres dan keretapi antarabandar.Kong berkata terdapat dua jenis perkhidmatan tren ETS yang beroperasi lima kali sehari, iaitu Transit dan Ekspres.Perkhidmatan Transit akan berhenti di sembilan stesen iaitu Kuala Lumpur, Rawang, Tanjung Malim, Behrang, Slim River, Sungkai, Tapah Road, Kampar dan Batu Gajah sebelum sampai di Ipoh.Perkhidmatan Ekspres pula, katanya akan berhenti di empat stesen, iaitu Kuala Lumpur, Tanjung Malim, Kampar, dan Batu Gajah sebelum sampai di Ipoh.Kong berkata lima perkhidmatan tren disediakan setiap hari dengan dua daripadanya bermula dari stesen Sentral Kuala Lumpur dan dua lagi dari Stesen Ipoh, manakala satu lagi bagi perjalanan Ipoh-Seremban.Mengenai harga tiket Kong berkata selepas tempoh promosi nanti harga tiket akan ditetapkan pada kadar RM45.40 bagi perjalanan sehala.Bagaimanapun katanya pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan memberikan diskaun kepada warga emas, kanak-kanak, pesara kerajaan dan orang kurang upaya (OKU) dimana kadarnya akan diumumkan kemudian.Sementara itu Presiden KTMB Dr Aminuddin Adnan berkata KTM mensasarkan 3,500 penumpang sehari pada musim perayaan ini."Kami harap lebih ramai penumpang khususnya dari golongan profesional dan peniaga akan menaiki tren ini yang bukan sahaja selesa tetapi selamat dan menjimatkan masa," katanya.Beliau berkata KTM juga akan menyediakan pakej menarik bagi penumpang yang kerap menggunakan perkhidmatan tren itu. - BERNAMA