suria

Cerita Di Sebalik Tweeter Speaker DUN Selangor

PETALING JAYA: Sukar untuk mempercayainya tetapi inilah yang berlaku - Speaker Dewan Undangan Negeri dari DAP, Teng Chang Khim yang dipanggil mengadap Jawatankuasa Disiplin parti itu berkata, kenyataan yang beliau tweet "OMG! The real culprit freed" tidak ditujukan kepada mana-mana pihak dalam parti itu tetapi sebenarnya karakter yang terdapat dalam sebuah filem Hong Kong berjudul "14 Blades".

Chang Khim yang mengambil masa 45 minit untuk menjelaskan perkara itu kepada Jawatankuasa Disiplin parti menyebut, beliau menghantar tweet itu selepas menonton cakera padat digital (DVD) filem itu dengan salah satu karakter utamanya telah bertindak berpaling tadah ke atas ketuanya iaitu Ketua Pengawal Diraja.

Pemimpin DAP itu yang keluar dari bilik di mana mesyuarat itu diadakan pada lebih kurang pukul 4 petang berkata, dia sedang menonton DVD itu di dalam keretanya dan selepas itu terus menghantar tweet pada lebih kurang pukul 9.22 malam pada 31 Julai.

Chang Khim ketika itu berada di Batu Pahat kerana menghadiri satu majlis makan malam sebelum meninggalkan majlis pada pukul 9 malam untuk menghadiri satu lagi majlis di Yong Peng.

Beliau juga menunjukkan kepada para wartawan salinan kenyataan daripada empat orang saksi - Chua Yee Ling, Gan Peck Cheng dan dua orang pemandu untuk menyokong kata-katanya itu.

Yee Ling adalah juruacara majlis makan malam itu manakala Peck Cheng pula penganjur program di Yong Peng.

Salah seorang daripada pemandu yang dinamakan dalam kenyataan saksi itu bertanggungjawab membawa DVD itu kepadanya sementara seorang lagi menjadi pemandu keretanya untuk ke Batu Pahat dan Yong Peng.

"Adalah jelas tweet yang saya hantar tidak sedikit pun merujuk kepada hukuman yang dijatuhkan oleh Jawatankuasa Disiplin ke atas Tee Boon Hock tetapi itulah hakikatnya," kata Teng.

Chang Khim diseret dalam isu Boon Hock yang dipecat dari DAP minggu lalu kerana terlibat dalam skandal menggunakan kepala surat ahli Exco Kerajaan Negeri untuk tujuan menyokong tender-tender telah didakwa menyindir kepimpinan DAP kerana tweet yang dihantarnya itu.

Dan selepas mendengar penjelasannya hari ini, Jawatankuasa Disiplin DAP membebaskannya dari sebarang hukuman.

Artikel Sebelum

Artikel Lain