suria

PSG Beri Keterangan Berhubung Kes Penderaan Seks Terhadap Wanita Penan

KUALA LUMPUR: Penan Support Group daripada Suara Rakyat Malaysia (Suaram) hari ini memberi keterangan di ibu pejabat polis Bukit Aman di sini Rabu berhubung pendedahan tujuh lagi wanita Penan yang didakwa terlibat dalam kes penderaan seks oleh pekerja pembalakan tahun lepas.

Seorang anggota kumpulan itu, John Liu yang ditemui sejam selepas memberi keterangan di Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak itu, berkata beliau diminta memberi kenyataan saksi mengikut seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

"Sebenarnya ini adalah respons kepada laporan kami bulan lepas mengenai kes yang kami dedahkan dalam laporan bertajuk 'A Wider Context of Sexual Exploitation of Penan Women and Girls in Middle and Ulu Baram, Sarawak," katanya.

Beliau berkata mereka turut memberi maklumat yang telahpun terkandung dalam laporan itu dan menyerahkan dua naskhah laporan berkenaan kepada Bukit Aman.

Liu mengulangi gesaan supaya ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat masalah yang diketengahkan dalam laporan itu.

Dalam laporan itu, Penan Support Group yang terdiri daripada 36 badan bukan kerajaan (NGO) mendedahkan bahawa tujuh lagi wanita Penan mengadu kepada kumpulan itu pada November tahun lepas bahawa mereka telah dirogol atau didera secara seksual oleh pekerja balak di Ulu Baram. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid: Tiada Beza PKR-Umno

Artikel Lain