suria

Poligami: Bung Moktar Tak Dipenjara

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin tidak perlu ke penjara bagi kesalahan berpoligami tanpa kebenaran selepas Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Rabu, menerima rayuannya bagi mengetepikan hukuman tersebut.

Ketua Hakim Syarie Selangor, Mukhyuddin Ibrahim sebaliknya memerintahkan Bung Moktar membayar denda maksimum iaitu RM1,000 atau berhadapan dengan hukuman penjara selama enam bulan, jika gagal menjelaskan denda.

Mukhyuddin membuat keputusan itu selepas menerima lima daripada 13 alasan rayuan yang difailkan Bung Moktar pada 25 Mei lalu kerana tidak berpuas hati dengan hukuman yang dijatuhkan Hakim Mahkamah Rendah Gombak Timur, dekat sini, Wan Mahyuddin Wan Mohammad.

Pada 19 Mei lalu, Wan Mahyuddin memerintahkan Bung Moktar dipenjara selama sebulan selepas mengaku salah melakukan kesalahan tersebut dengan mengahwini pelakon, Zizie Izette A. Samad pada pukul 8.50 malam, 16 Disember 2009.

Beliau yang pernah mengatakan dirinya tidak cukup kacak untuk pelakon Aduhai Esah itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di rumah bernombor 12, Jalan TC2B/3, Cemerlang Heights, Taman Melati,Gombak, dekat sini.

Bung Moktar selaku perayu memfailkan rayuan pada 25 Mei lalu menerusi peguam syarie Amli Embong dengan menamakan Ketua Pendakwa Syarie selaku responden yang diwakili Pegawai Pendakwa Syarie Zusyarafain Md Yusof.

Terdahulu, Mukhyuddin menerima rayuan tersebut selepas berpuas hati bahawa Wan Mahyuddin telah terkhilaf kerana gagal mempertimbangkan faktor perayu adalah pesalah kali pertama dan juga kesan hukuman terhadapnya.

“Jika perayu dipenjarakan, ia akan mendatangkan kemudaratan kepada diri, kerjaya dan reputasinya. Perayu mempunyai tanggungjawab terhadap isteri-isteri dan anak-anaknya. Secara tidak langsung boleh menyebabkan timbul masalah sosial jika perayu dipenjarakan,” ujar beliau.

Beliau turut memutuskan Wan Mahyuddin terkhilaf kerana tidak memberikan alasan kewajaran hukuman penjara terhadap perayu.

Mukhyuddin juga berpendapat hakim terdahulu tidak seharusnya mengikat perayu sebagai seorang Ahli Parlimen seharusnya mempunyai pengetahuan akan perundangan, termasuklah undang-undang syariah.

“Tidak wajar untuk mengikat perayu dengan perundangan syariah kerana perayu tidak terlibat dalam penggubalan undang-undang syariah yang merupakan bidang kuasa negeri,” katanya.

Mukyuddin yang mengambil masa satu jam setengah untuk membacakan penghakiman bagaimanapun bersetuju bahawa hukuman bagi kesalahan itu adalah rendah jika dibandingkan dengan kedudukan Bung Moktar selaku individu yang berpendidikan.

“Undang-undang digubal untuk keadilan dan bukan untuk menyulitkan perkahwinan poligami. Undang-undang digubal supaya poligami dibuat secara teratur dan matlamatnya tercapai seterusnya melahirkan zuriat yang soleh dan solehah.

“Mahkamah ingin menegaskan kepada masyarakat bahawa tidak mustahil jika hukuman penjara akan dijatuhkan sekiranya kesalahan seumpamanya dilakukan selepas ini,” tegas beliau.

Artikel Sebelum

Zaid: Tiada Beza PKR-Umno

Artikel Lain