suria

Mayat Wanita Warga Asing Ditemui Dengan Kesan Jerutan Di Leher

KUALA LUMPUR: Polis menemui mayat seorang wanita warga asing dengan kesan jerutan di lehernya, di dalam bilik sebuah pangsapuri di tingkat tujuh Plaza Pudu di sini, semasa melancarkan Ops Dadu di plaza berkenaan tengah malam Selasa.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa berkata mayat itu ditemui oleh anggota polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur, semasa pasukan itu membuat serbuan di beberapa unit pangsapuri di plaza berkenaan pada kira-kira pukul 10.30 malam.

Katanya semasa memeriksa sebuah pangsapuri di tingkat tujuh plaza itu, polis menemui dua lelaki dan dua wanita yang dipercayai pelacur di dalam salah sebuah bilik.

"Ada satu lagi bilik berkunci, dan selepas dibuka tuan rumah, polis menemui mayat seorang wanita berumur 31 tahun tertiarap di atas katil dalam keadaan separuh bogel, dengan kesan jerutan di lehernya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini malam tadi.

Menurutnya siasatan awal mendapati wanita yang masih belum dikenal pasti identiti itu meninggal dunia dalam tempoh 24 jam sebelum mayatnya ditemui.

Khairi berkata polis kemudian menahan pemilik pangsapuri itu yang berusia 67 tahun, lelaki kedua yang dipercayai pelanggan yang berumur sekitar 40-an, dan dua wanita dipercayai pelacur dalam lingkungan umur sekitar 30-an, bagi membantu siasatan.

Katanya polis sedang mengenal pasti motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu Ops Dadu itu Khairi berkata polis berjaya menahan tiga lelaki dipercayai pelanggan dan tujuh orang wanita dipercayai pelacur dalam serbuan ke atas beberapa pangsapuri di tingkat lima, tujuh dan 10, di plaza berkenaan, dan operasi berakhir kira-kira pukul 3 pagi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaid: Tiada Beza PKR-Umno

Artikel Lain