suria

Jangan Lagakan Saya Dengan Presiden PAS - Khalid

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menyifatkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai 'batu api' kerana didakwa cuba melaga-lagakan hubungannya dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu pemilikan hartanah di kalangan bumiputera.

Khalid mendakwa, Muhyiddin sengaja memanipulasikan fakta bagi menggambarkan kononnya beliau mempunyai pandangan berbeza dan tidak mendokong pendirian Abdul Hadi berhubung isu tersebut.

"Jelas sekali Tan Sri Muhyiddin nak jadi batu api dalam isu ini, beliau sengaja nak laga-lagakan saya dengan Tuan Guru Presiden (Abdul Hadi).

"Beliau buat kenyataan seolah-olah saya tak bersefahaman dengan Presiden," katanya kepada mStar Online di sini pada Rabu.

Pesuruhjaya PAS Shah Alam itu berkata demikian bagi mengulas kenyataan Muhyiddin yang mencabar agar beliau dan pemimpin Pas yang sealiran dengannya menyatakan pendirian terhadap kenyataan Abdul Hadi berhubung pengekalan pemberian diskaun bumiputera dalam pemilikan hartanah di Selangor.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Khalid dan rakan-rakannya itu wajar berbuat demikian supaya rakyat tahu pendirian sebenar mereka berhubung isu berkenaan.

Bagaimanapun Khalid menegaskan beliau sememangnya menyokong penuh pendirian Abdul Hadi berhubung isu tersebut namun pendekatan baru perlu diambil bagi memastikan faedah pemberian diskaun berkenaan benar-benar dinikmati oleh golongan bumiputra berpendapatan rendah.

"Sudah jelas saya memang menyokong kenyataan Tuan Guru Presiden, tak dinafikan bahawa golongan bumiputra masih memerlukan diskaun berkenaan.

"Tapi mekanismenya perlu diubah, kita alu-alukan pemberian diskaun kepada golongan bumiputra yang miskin, tapi bukan kepada orang Melayu yang kaya," katanya.

Jelasnya pendekatan baru perlu digubal dalam isu pemberian diskaun berkenaan bagi memberi manfaat secara langsung kepada bumiputera berpendapatan rendah.

"Pada dasarnya tujuan pemberian diskaun ini adalah untuk membantu golongan berpendapatan rendah, tapi kalau orang kaya juga dapat kemudahan yang sama, maknanya yang kaya akan terus kaya.

"Ini yang sebenarnya dibangkitkan iaitu diskaun sepatutnya tidak diberikan kepada orang kaya kerana mereka sudah kaya," katanya.

Pada 26 Julai lalu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara daripada DAP, Tony Pua mencadangkan agar kerajaan negeri memansuhkan dasar pemberian diskaun kepada bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan mewah di Selangor.

Artikel Sebelum

Zaid: Tiada Beza PKR-Umno

Artikel Lain