suria

Tindakan Nekad Ibu Dan Bapa Selamatkan Anak Daripada Diculik

MELAKA: Tindakan nekad dan pantas sepasang ibu bapa berjaya menyelamatkan anak perempuan mereka berusia 11 tahun daripada diculik di depan kediaman mereka di Taman Malim Jaya, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP Mohd Adnan Abdullah berkata dalam kejadian pukul 6.50 pagi, ibu berusia 40-an dan anak perempuan berada di dalam kereta untuk ke sekolah apabila didatangi oleh sekumpulan empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang.

"Mereka masuk apabila pintu pagar rumah terbuka dan bertindak memecahkan cermin kereta sementara seorang daripada lelaki itu menarik anak perempuan, yang ketika itu duduk di kerusi penumpang hadapan, ke dalam sebuah kereta Toyota Harrier berwarna hitam yang menunggu di depan rumah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontingen negeri di sini pada Selasa.

Mohd Adnan berkata ibu kepada kanak-kanak itu, yang merupakan seorang petugas kerajaan, bertindak membunyikan hon kereta yang disedari oleh suaminya dan dua anak lelaki mereka berusia belasan tahun, lalu keluar rumah dan memberikan bantuan.

"Berlaku pergelutan antara ahli keluarga itu dengan lelaki berkenaan dan ketika itu anak perempuannya berjaya keluar dari kereta penculik dan masuk ke dalam rumah," katanya.

Keempat-empat lelaki itu melarikan diri setelah menyedari tindakan mereka cuba melarikan budak perempuan itu gagal.

Akibat pergelutan, bapa mangsa, berusia 40-an yang merupakan seorang pengurus sebuah syarikat swasta di Batu Berendam di sini mengalami kecederaan di lutut manakala ibunya luka di bahagian siku ketika terjatuh, kata Mohd Adnan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu cuba melarikan orang daripada jagaan sah dan polis percaya perbuatan itu sudah dirancang berdasarkan waktu kejadian," katanya.

Beliau meminta orang ramai serta jiran yang yang melihat kejadian itu tampil memberikan maklumat. -BERNAMA

Artikel Lain