suria

Tidak Ada Sekatan Penggunaan Nama 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tidak ada sekatan untuk menggunakan '1Malaysia' selagi ia mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

"Pertamanya, sesiapa yang mahu menggunakan simbol (logo) 1Malaysia, mesti menggunakan rekaan logo rasmi.

"Ini bermakna bentuk dan saiz huruf 1Malaysia mesti digunakan dan perkataan 'Malaysia' di masukkan di bahagian bawah.

"Nombor '1' boleh diisi dengan logo syarikat dan stail lain yang serupa. Semua itu dibenarkan," katanya dalam jawapan kepada soalan yang dikemukakan oleh Asman dalam blognya www.1Malaysia.com.my.

Soalan Asman berbunyi: "Saya ingin bertanya tentang penggunaan nama 1Malaysia. Sempena 1Malaysia diwujudkan, kawan saya telah menggunakan nama 1Malaysia untuk membuat satu permainan online. Adakah ini dibenarkan?"

Najib juga meminta penggunaan '1Malaysia' memenuhi aspirasi nilai-nilai 1Malaysia.

"Sebagai contoh, sesuatu produk atau perkhidmatan perlu berkualiti, dan mewakili ciri-ciri positif. Selain daripada itu, jika ia untuk nama syarikat, nama '1Malaysia' perlu didaftarkan dengan Pendaftar Syarikat," katanya.

Perdana Menteri berkata beliau berharap '1Malaysia' digunakan dalam bentuk yang mencerminkan semua nilai baik yang beliau sebutkan itu, termasuk kecekapan, kecemerlangan, meritokrasi dan banyak lagi.

"Agar '1Malaysia' tidak disalah guna, tetapi sebaliknya dicirikan melalui lakaran mahupun semangat," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain