suria

Rakyat Asing Cuba Seludup Keluar Diesel

LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)yang berpangkalan di Kuala Perlis menahan dua rakyat Thailand yang cuba menyeludup kira-kira 650 liter minyak diesel ke negara jiran itu, Isnin.

Mereka yang menaiki sebuah bot nelayan ditahan di perairan Kuala Perlis ketika sedang menuju ke sempadan Thailand kira-kira 2.20 petang.

"Bot APMM telah menghampiri bot berkenaan dan mengarahkan mereka berhenti. Pemeriksaan yang dibuat mendapati bot itu dikendalikan dua warga Thailand yang masing-masing berumur 41 tahun dan menjumpai 650 liter minyak diesel yang diisi dalam dua buah tangki," kata Penolong Pengarah Kanan Operasi Wilayah Maritim Utara, Komander Low Mee Choy.

Beliau berkata bot nelayan itu telah diubah suai untuk mengisikan tempat simpanan ikan dengan dua tangki minyak berkenaan. Kedua-dua rakyat Thailand itu ditahan untuk untuk siasatan lanjut.

"Penyeludupan ini merupakan rampasan ke-15 setakat ini tahun ini di perairan Langkawi dan Perlis yang menunjukkan peningkatan sebanyak tiga kes berbanding tempoh Jan hingga Ogos tahun lalu," kata Low. - BERNAMA

Artikel Lain