suria

Persatuan Peminjam Wang Jumpa Menteri Perumahan

PUTRAJAYA: Satu perjumpaan bagi membincangkan mengenai aktiviti memberikan pinjaman wang berlesen telah diadakan hari ini bagi membincangkan beberapa masalah untuk memperkemaskan sistem pinjaman wang di negara ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung berkata, Persatuan Peminjam Wang Berlesen Malaysia (Milma) telah membuat permohonan untuk berjumpa dengannya baru-baru ini dan beliau telah bersetuju untuk bertemu dengan wakil persatuan itu untuk perbincangan lanjut.

Chor berkata, dalam perbincangan itu, antara perkara yang dibangkitkan antara lain mengenai cadangan pindaan ke atas Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat bulan lalu.

"Selain membincangkan mengenai Akta dan beberapa perkara berkaitan, pihak kita turut mengambil kesempatan untuk menjelaskan tentang pindaan yang masih diperingkat cadangan itu.

"Kita juga telah menegaskan supaya semua peminjam wang berlesen supaya mematuhi semua peraturan dan syarat yang telah ditetapkan supaya tidak berlaku sebarang masalah," katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani MOA, di antara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Chor berkata, pihak persatuan boleh memainkan peranan lebih proaktif dalam memastikan menarik lebih ramai syarikat peminjam wang berlesen menyertai persatuan supaya boleh menambah nilai kepada semua syarikat peminjam yang ada.

"Kadang-kadang orang dengar sahaja syarikat peminjam wang, masyarakat akan ingat itu adalah 'Ah Long'. Persepsi ini yang harus ditukar supaya semua syarikat peminjam lebih diyakini oleh masyarakat," katanya.

Tambahnya, dengan penglibatan lebih banyak syarikat peminjam wang berlesen dalam persatuan itu akan memudahkan mereka untuk lalai daripada memperbaharui lesen.

Terdahulu, 'Ah Long' yang ditahan kerana menjalankan aktiviti memberikan pinjaman wang tanpa lesen akan dikenakan denda sehingga maksimum RM1 juta manakala para 'kaki' mereka yang menggunakan kekerasan dan pelbagai taktik untuk menakutkan orang-ramai boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun.

Perkara ini terkandung dalam cadangan pindaan ke atas Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang telah dibentangkan dan pindaan tersebut akan memberikan lebih kuasa kepada polis dan juga pihak berwajib menjalankan pencegahan ke atas mereka yang menyalahgunakan lesen ini.

Ketika ditanya mengenai reaksi wakil persatuan yang bertemunya pagi tadi, Chor berkata, rata-rata berpuas hati dengan perbincangan yang diadakan namun enggan mengulas lanjut mengenai perkara yang dibincangkan.

Sementara itu, Chor menyambut baik kerjasama antara JBPM dan USM yang menawarkan kurusu di peringkat ijazah kepada pegawai bomba yang bekelayakan untuk mengikuti program dalam bidang sains forensik secara percuma.

Katanya, dengan kerjasama ini semua pegawai yang berpeluang menyambung pelajaran akan lebih bersedia dan berpengetahuan dalam membantu menyelesaikan lebih banyak kes melibatkan kebakaran secara sengaja dan bermotif jenayah dalam mencari bukti dan punca kejadian.

"Kita tidak mahu lagi, JBPM dilihat fungsinya sebagai memadam kebakaran sahaja tetapi lebih daripada itu," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, setakat ini sembilan buah makmal forensik milik jabatan itu telah disediakan di seluruh negara dan menjangkakan penambahan makmal itu pada masa hadapan.

"Makamal ini disediakan untuk kemudahan anggota untuk melakukan siasatan terus tanpa menunggu pihak lain dan hasil siasatan dapat dikongsi dengan jabatan lain yang tentu akan memudahkan kerja," katanya.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ahmad Kabit, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Hamzah Abu Bakar dan Naib Canselor USM, Tan Sri Dzulkifli Abd Razak.

Artikel Lain