suria

Pelan Induk LTC Berdasarkan Input Operator Pengangkutan Awam Darat

KUALA LUMPUR: Pelan induk Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (LTC) dibuat berdasarkan input daripada perbincangan dengan semua operator perkhidmatan pengangkutan awam darat, kata Pengerusinya Tan Sri Syed Hamid Albar.

Beliau berkata ini bertujuan mengelak tanggapan bahawa kerajaan hanya menyediakan pelan induk secara bersendirian yang kemudiannya diturunkan kepada rakyat tanpa terlebih dahulu memahami kehendak mereka termasuk keperluan operator perkhidmatan.

"Sejak LTC ditubuhkan kami mensasarkan tempoh antara enam hingga 12 bulan untuk sediakan 'master plan' (pelan induk).

"LTC adalah berbeza, kerajaan mahu supaya 'master plan' itu dihasilkan berasaskan input yang diperolehi.

"Jadi kita akan tahu apakah permintaan dan kehendak rakyat dalam sistem pengangkutan awam dan keperluan operator untuk membolehkan mereka menjalankan perniagaan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama lebih 50 persatuan serta pengusaha bas dan lori di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Isnin.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif LTC Mohd Nur Kamal.

Syed Hamid berkata semua pertemuan dan perbincangan yang diadakan bukannya dibuat secara suka-suka sebaliknya untuk mencari segala input untuk dirumuskan menjadi pelan induk dalam perjalanan perancangan suruhanjaya.

LTC yang ditubuhkan pada 3 Jun lepas memainkan peranan utama dalam meningkatkan sistem pengangkutan awam tanah air, yang merupakan satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Mengenai andaian sesetengah pihak bahawa LTC ditubuhkan untuk mengambil alih kuasa Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Syed Hamid berkata, ia tidak benar kerana LTC diwujudkan bagi mengintegrasikan sistem pengangkutan awam darat yang kemudiannya diselaraskan supaya dapat mencapai ke tahap di mana orang ramai mempunyai keyakinan terhadap sistem pengangkutan awam.

"Ia adalah pengintegrasian sistem pengangkutan awam darat agar orang ramai akan bergantung kepada pengangkutan ini.

"Kita juga adalah pengatur, melesenkan operator, tempat untuk memulakan perbincangan berkaitan polisi. Kami melihat semua ini secara holistik, bukan sahaja dari segi perlesenan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain