suria

Peguam Didakwa Pecah Amanah

KLANG: Seorang peguam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini Selasa, atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah kerana didakwa tidak memasukkan kaveat dan pertukaran hak milik tanah seorang wanita ke dalam sebuah syarikat swasta.

N.Surendren, 38, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim Yong Zalida Sazali.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 3 Disember 2002 di Tetuan Pathma Nalli & Partners, di nombor 198, Jalan Sultan Abdul Samad, Banting, dekat sini sebelum mengulangi perbuatannya pada 4 April 2003 dan 18 Mei 2004.

Berdasarkan pertuduhan, Surendren sebagai peguam kepada syarikat Decorsuria Holding Sdn Bhd telah tidak melakukan urusan memasukkan kaveat dan pertukaran tanah di Lot 2364, Mukim Batu, Kuala Lumpur milik Lee Hing Wah kepada syarikat tersebut.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Noorbaya Jamil.

Yong Zalida membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 20 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel Lain