suria

Musa Ingatkan Samseng Di Sarawak Agar Berwaspada

SIBU: Polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap ketua kumpulan samseng dan anggotanya di Sarawak yang telah dibebaskan dari pusat tahanan jika kembali kepada kerjaya jenayah mereka.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata walaupun telah dibebaskan, mereka masih di bawah pengawasan polis.

"Saya menggesa orang ramai di Sibu khususnya, dan di Negeri Sarawak amnya, supaya menghubungi polis dengan segera bagi memaklumkan mengenai pergerakan serta aktiviti mereka (samseng) bagi membolehkan kami bertindak pantas," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Sibu sebelum berlepas ke Kuala Lumpur pada Selasa.

Beliau berkata orang awam yang pernah menjadi mangsa dan diugut, perlu tampil membuat laporan polis dan memberi keterangan di mahkamah, bila diperlukan.

"Mereka patut tampil tanpa rasa takut. Kami akan menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya. Mereka tidak perlu bimbang tentang keselamatan mereka kerana Akta Perlindungan Saksi telah berkuat kuasa.

"Jika kami rasa mereka memerlukan perlindungan polis, kami akan melindungi mereka," katanya.

Semalam, Musa merasmikan pembukaan balai polis daerah baru di Pekan Betong yang dilengkapi kemudahan moden untuk memberi keselesaan kepada 102 pegawai polis yang bertugas serta pekerja lain dan masyarakat setempat.

Beliau berkata secara keseluruhan, Betong ialah sebuah pekan aman dengan kadar jenayah yang amat rendah.

Bagaimanapun, Musa menasihati anggota polis di kawasan berkenaan supaya memberikan perkhidmatan terbaik selain menjalin hubungan mesra dengan penduduk setempat bagi mendapatkan kepercayaan mereka.

"Apabila mereka percayakan kita, mereka akan memberikan maklumat yang berguna," katanya.

Sementara itu, mengenai persiapan polis menghadapi pilihan raya negeri akan datang, Musa berkata kontinjen negeri telah bersiap sedia dan kini mahu mendapatkan lebih ramai anggota.

"Namun saya berharap semua parti politik dan orang awam akan mematuhi undang-undang pilihan raya bagi mengelakkan sebarang masalah keselamatan," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain