suria

Mayat Warga Emas Ditemui Dalam But Kereta

KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki dalam sebuah karung ditemui dalam but sebuah kereta yang diletakkan di kawasan parkir berhampiran Jalan Gagak, Taman Million, Batu 3, Off Jalan Ipoh dekat sini petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata mayat lelaki warga emas itu dijumpai oleh orang awam dalam sebuah kereta jenis Ford Laser dengan nombor pendaftaran JBY9209 setelah mendapati kereta itu berbau busuk.

Polis menerima maklumat dari orang awam pada 3 petang mengenai penemuan mayat lelaki berumur dalam lingkungan 60-an dan kemungkinan telah ditinggalkan di situ sejak tiga hari lalu.

Beliau berkata punca kematian masih dalam siasatan dan pihak polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di tempat lain sebelum diletakkan di situ.

Identiti mayat terbabit sedang dikenalpasti, manakala semakan ke atas kereta yang ditemui itu mendapati ianya didaftarkan atas nama Chew Er Hong, 30-an, dari Sungai Buloh, katanya.

Zakaria berkata pihaknya belum dapat memastikan sama ada mangsa adalah orang yang sama dengan pemilik kereta itu. Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya.

Beliau berkata saksi atau individu yang kehilangan ahli keluarga diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk memberi maklumat. - BERNAMA

Artikel Lain