suria

Lima Lelaki Cuba Rompak Kapal Tangki Di Perairan Pengerang

JOHOR BAHARU: Lima lelaki bersenjatakan pistol dan pisau rambo cuba merompak sebuah kapal tangki, MT Genmar Gulf yang berdaftar di Marshall Islands, ketika ia berada pada kedudukan dua batu nautika di tenggara perairan Tanjung Ayam, dekat Pengerang di sini, Selasa.

Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Selatan Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Hassan Jusoh berkata, kesemua lelaki bertopeng itu dipercayai memanjat kapal tangki berkenaan menggunakan tali pada 3.30 pagi, sebelum memasuki bilik enjin dan mengikat seorang anak kapal.

"Bagaimanapun, kesemua lelaki itu berjaya melarikan diri apabila mendengar bunyi alat penggera kapal selepas kehadiran mereka disedari seorang jurutera yang menemui anak kapal yang diikat," katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa.

Beliau berkata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kemudian dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh Pelabuhan Johor pada 4.25 pagi.

Katanya, dua bot APMM iaitu Petir 11 dan Kilat 21 telah dihantar ke lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

Che Hassan berkata kapten kapal tangki itu bersama 24 anak kapalnya tidak mengalami sebarang kecederaan dan tiada barangan lain dilaporkan hilang. -BERNAMA

Artikel Lain