suria

ESQ Gagal Peroleh Kebenaran Cabar Fatwa Mufti

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini Selasa, menolak permohonan syarikat latihan pembinaan modal insan, ESQ Leadership Center Sdn Bhd (ESQ) untuk mendapatkan kebenaran bagi membatalkan fatwa Mufti Wilayah Persekutuan berhubung ajaran dan fahaman yang dibawanya.

Hakim Mahkamah Rayuan Dan Kuasa-Kuasa Khas, Datuk Mohd Zawawi Salleh yang membuat keputusan itu bagaimanapun, tidak mengenakan sebarang kos atas alasan isu tersebut merupakan kali pertama dipertikaikan dan melibatkan isu perundangan yang berkepentingan.

Pada penghakimannya, Mohd Zawawi berkata, permohonan yang difailkan oleh ESQ itu adalah di bawah bidang kuasa dan sepatutnya diputuskan oleh Mahkamah Syariah.

“Hakim Mahkamah Sivil tidak terlatih dalam hukum syarak. Disebabkan itu, dari segi perlembagaan, isu berkaitan fatwa tidak tertakluk di bawah bidang kuasa sivil,” ujar beliau.

Selain itu, Mohd Zawawi juga berpendapat, isu berhubung penerbitan fatwa itu tidak timbul memandangkan fatwa tersebut sudah diwartakan dan mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong.

Mohd Zawawi membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan pihak-pihak terlibat di prosiding mahkamah terbuka yang bermula pukul 3 petang.

ESQ yang diasaskan oleh warga Indonesia, Dr Ary Ginanjar Agustian selaku pemohon diwakili peguam Abu Bakar Jais dan Helmi Hamzah.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Muftinya yang dinamakan sebagai responden-responden pula diwakili peguam Pawancheek Merican, Abdul Rahim Sinwan, Zulkifli Che Yong dan Kamar Ainiah Kamaruzaman.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan dan Arik Sanusi Yeop Johari pula mewakili Jabatan Peguam Negara yang turut dinamakan sebagai responden.

ESQ memfailkan permohonan tersebut pada 26 Julai lalu untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding mendapatkan perintah perisytiharan fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh pada 17 Jun lalu dan penerbitannya dalam Warta Kerajaan adalah terbatal dan tidak sah.

Wan Zahidi mengeluarkan fatwa bahawa ajaran, pengangan serta fahaman yang dibawa oleh ESQ dan apa-apa ajaran seumpamanya adalah menyeleweng daripada Islam kerana mengandungi perkara yang boleh merosakkan akidah dan syariat Islam, selain meminta orang ramai menjauhinya.

ESQ menjalankan latihan pembinaan insan di negara ini dan program motivasi tersebut telah disertai lebih 65,000 orang termasuk orang kenamaan, tokoh agama, individu korporat dan pegawai kerajaan.

Artikel Lain