suria

Bekas Pengurus Hicom Engineering Didakwa Terima Rasuah

SHAH ALAM:Bekas pengurus projek di Hicom Engineering Sdn Bhd, Jafri Azizi Abdullah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini Selasa, atas empat pertuduhan menerima rasuah bernilai hampir RM70,000, dua tahun lalu.

Jafri Azizi, 45, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.

Tertuduh didakwa menerima suapan itu daripada Pengurus Projek Syarikat Seribong Engineering Sdn Bhd, Joehari Hashim dalam bentuk wang tunai RM25,000.

Wang itu didakwa diterima menerusi akaun bank Muhammad Sidek Muhammad Yunus antara pukul 1 dan 5 petang, 7 Januari 2008 di Maybank SS2, Nombor 11, Jalan 57A/222, Petaling Jaya, dekat sini.

Pertuduhan seterusnya pula melibatkan wang tunai RM8,000, RM15,000 dan RM20,000 yang didakwa diterima pada 1 April, 29 April dan 4 Ogos 2008 di tempat yang sama.

Suapan itu didakwa sebagai upah kerana mencadangkan syarikat berkenaan dalam cadangan pembinaan dan reka bentuk bangunan baru untuk mesin, gudang dan pejabat Hicom Engineering.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ng Siew Wee mengikut Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan yang mana lebih tinggi.

Tertuduh diwakili peguam Yusman Che Ahmad.

Mat Ghani menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dan kes akan disebut semula pada 6 September depan.

Artikel Lain