suria

Tuanku Mizan Terima Watikah Pelantikan Lima Perwakilan Asing

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menerima watikah pelantikan daripada lima perwakilan asing di Istana Negara di sini, Isnin.

Mereka terdiri daripada Duta Iraq Amal Mussa Hussain Ali Al-Rubaye, Duta Russia Lyudmilla Georgievna Vorobyeva, Duta China Chai Xi, Duta Sweden Pre-Arne Hjelmborn dan Pesuruhjaya Tinggi Afrika Selatan Thamsanqa Dennis Mseleku.

Amal Mussa, 52, yang menggantikan Kadhum A. Al-Rawi, telah berkhidmat sebagai Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Penasihat di Pejabat Perdana Menteri di Iraq.

Beliau juga merupakan ahli Jawatankuasa Agung Persediaan bagi Persidangan Pertama Kebangsaan di Iraq (2004), ahli Majlis Sementara Kebangsaan Iraq (2004-2005) dan anggota Perhimpunan Peralihan Kebangsaan dari 2005 hingga 2006.

Lyudmilla, 46, mempunyai pengalaman luas dalam bidang diplomatik dan pernah memegang pelbagai jawatan diplomatik di Kedutaan Russia di Laos dari tahun 1989 hingga 2005 dan juga menjadi Menteri Penasihat Kedutaan di Thailand dari 2005 hingga 2007.

Beliau juga merupakan Timbalan Pengarah di Jabatan Asia Pasifik Kementerian Luar Russia dari 2007 hingga 2010.

Chai Xi, 57, memulakan karier sebagai Penasihat di Kedutaan China di Bangladesh dari 1997 hingga 1998 dan juga Penasihat di Thailand (1998-2001), duta ke Bangladesh (2003-2006) dan duta ke Malta (2006-2009).

Hjelmborn, 41, memulakan kariernya di Kementerian Luar Sweden pada 1995 dan berkhidmat di Kedutaan Sweden di Chile, Sepanyol dan China.

Beliau juga berkhidmat sebagai ketua Bahagian Ekonomi di Kedutaan Sweden di Beijing, China, pada 2006.

Mseleku, 49, merupakan seorang guru di Sekolah Tinggi Zibukezulu di Afrika Selatan dari 1983 hingga 1986 sebelum memegang pelbagai jawatan dengan kerajaan Afrika Selatan termasuk Ketua Pengarah Sumber Manusia dan Perkhidmatan Korporat di Jabatan Pendidikan dari 1995 hingga 1996.

Antara jawatan lain ialah Penasihat Khas kepada Menteri Pelajaran (1996-1998), Timbalan Ketua Pengarah Sumber Manusia dan Perkhidmatan Korporat di Jabatan Pendidikan (1998-1999), Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan (1994-2004) dan Ketua Pengarah Jabatan Kesihatan dari 2005 hingga 2009.

Sementara itu, Tuanku Mizan juga berkenan menyampaikan watikah pelantikan kepada Duta Malaysia ke Russia, Datuk Zainol Abidin Omar, 55.

Zainol merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (B.Sc) dari Universiti Malaya.

Beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang diplomatik selepas menjadi Duta Malaysia ke Cuba pada 2005, Penasihat Kedutaan Malaysia di Washington D.C. pada 1992 dan Penasihat Kedutaan di Kedutaan Malaysia di Brussels, Belgium pada 1998.

Beliau juga pernah menyandang jawatan Timbalan Setiausaha (Jabatan Hal Ehwal Multilateral) di Kementerian Luar dari 2009 hingga Julai 2010. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain