suria

Suzuki Malaysia Sasar Jual 1,200 Unit Alto Baru

SHAH ALAM: Suzuki Malaysia Automobile Sdn Bhd menyasarkan untuk menjual sekurang-kurangnya 1,200 model unit komponen dipasang sepenuhnya (CBU), Alto, pada tahun kewangan terkini berakhir 31 Mac 2011.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil, berkata syarikat itu menjual 5,588 kereta pada tahun kewangan terakhir, iaitu 13 peratus lebih banyak daripada tahun sebelumnya.

"Untuk tahun kewangan ini, kami berharap akan mencapai jumlah keseluruhan sebanyak 8,000 unit dengan Alto," katanya kepada pemberita pada pelancaran Suzuki Alto di sini Isnin.

Beliau berkata syarikat itu yakin model baharu itu akan mendapat sambutan baik dan mencapai sasaran jualan walaupun kadar faedah sekarang adalah pada 3.8 peratus. Mohd Khamil berkata syarikat itu juga meninjau kemungkinan untuk mempunyai unit komponen tempatan (CKD) model Alto di negara ini.

"Pada masa ini, kami sedang berbincang dengan rakan kongsi kami, Maruti Suzuki India Ltd, tentang kemungkinan mempunyai operasi CKD," katanya.

Beliau berkata dengan operasi CKD, syarikat itu akan menambah penggunaan barangan tempatan serta mencipta peluang untuk membantu ekonomi Malaysia.

Mengenai jika Alto akan bersaing dengan kereta nasional, Mohd Khamil berkata ia hanya akan bersaing dengan CBU lain seperti Kia Picanto. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain