suria

Surat Sokongan Hanya Sebagai Rujukan, Bukan Arahan:Koh Tsu Koon

KUALA LUMPUR:Surat sokongan yang dikeluarkan pemimpin politik bagi membantu permohonan orang awam bukan bertujuan mengarahkan penjawat awam meluluskan permohonan tersebut, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Sebaliknya ia dikeluarkan sebagai rujukan kepada penjawat awam untuk membantu mereka mempertimbang permohonan, katanya.

"Contohnya, kita selalu menulis surat sokongan untuk pelajar memohon biasiswa, kita kata tolong pertimbang, tetapi itu tidak harus dianggap sebagai arahan atau perintah kepada pegawai berkenaan.

"Anda boleh tulis, setiap orang boleh menulis surat sokongan menyatakan perakuan, misalnya untuk kawasan ini kalau dilanda banjir kita boleh tulis surat untuk projek tebatan banjir, tapi ia tidak sepatutnya dianggap sebagai arahan," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2010 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, Ahad.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan baru-baru ini yang mengarahkan penjawat awam menulis surat dan melaporkan kepada ketua mereka jika mendapat 'permintaan istimewa' daripada ahli politik dalam urusan pemberian tawaran kontrak, permit, lesen, kewarganegaraan dan biasiswa.

Mohd Sidek dilaporkan berkata sebarang cadangan atau surat sokongan daripada pemimpin politik kepada penjawat awam tidak seharusnya dalam apa cara pun mempengaruhi keputusan kerajaan.

Tsu Koon berkata, "Ada dua hal dalam perkara ini (surat sokongan). Terdapat penjawat awam yang perlu diingatkan tentang tanggungjawab mereka, sebaliknya ahli politik tidak harus mengganggu (misalnya) proses tender".

Sementara itu, beliau berkata semua penjawat awam perlu mempunyai dan mempraktikkan semangat 1Malaysia dalam sistem penyampaian di jabatan dan agensi kerajaan bagi meningkatkan perkhidmatan untuk kesejahteraan rakyat.

"Ada beberapa jabatan dan agensi telah mencapai tahap prestasi dan kecekapan yang tinggi dan yang sering disebut-sebut adalah Jabatan Imigresen, kalau dulu pasport disiapkan dalam tempoh seminggu, tahun lalu tiga jam, tapi kini hanya satu jam, itu satu pencapaian yang baik oleh Jabatan Imigresen.

Terdahulu dalam ucapannya, Tsu Koon berkata, semua rakyat Malaysia perlu mengibarkan jalur gemilang setiap hari.

Katanya, ia boleh dilakukan bukan hanya secara fizikal malah boleh menanamkan kibaran jalur gemilang di dalam hati sanubari bagi mencerminkan komitmen kepada negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain