suria

Seramai 14,179 Rakyat Asing Diberi Taraf Warganegara

IPOH: Sejumlah 14,179 daripada 29,677 permohonan untuk mendapatkan status kerakyatan negara ini bagi tempoh 2007 hingga 2009 telah pun berjaya diselesaikan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong. Beliau berkata baki sebanyak 15,498 permohonan masih dalam pertimbangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan proses itu dijangka selesai menjelang akhir tahun ini.

Katanya permohonan tidak diluluskan dengan sewenang-wenangnya, sebaliknya pemohon perlu memenuhi pelbagai kriteria yang ditetapkan dan melalui banyak peringkat tapisan.

"Mereka yang benar-benar layak sahaja dianugerahkan taraf warganegara Malaysia," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan taraf kewarganegaran Malaysia di pejabat KDN di sini Isnini.

Pada majlis itu, Lee menyerahkan taraf kewarganegaraan kepada 132 rakyat asing dari pelbagai negara yang menetap di negeri ini.

Mereka yang sebelum ini merupakan warga Indonesia, India, Taiwan, China, Myanmar dan Thailand berumur 12 hingga 80 tahun, turut melafazkan ikrar taat setia serta Rukun Negara pada majlis berkenaan.

Salah seorang daripada penerima, Mumtaz Malika Kanan Mohamaed, 45, dari India yang menetap di negara ini sejak 1989 kerana mengikut suaminya, berterima kasih kepada kerajaan Malaysia memandangkan permohonannya sejak memasuki negara ini 11 tahun lepas telah pun diluluskan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain