suria

Sabah Bakal Jadi Tuan Rumah Hari Malaysia 16 September Ini

KOTA KINABALU: Sabah bakal menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia yang akan berlangsung di sini pada 16 Sept, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

"Acara yang julung kalinya diadakan ini sudah tentu akan menjadi kepelbagaian acara dalam kita menyambut bulan kemerderkaan pada tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya pada pelancaran bulan kemerdekaan dan kempen mengibar jalur gemilang di perkarangan ibu pejabat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, di sini, Isnin.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Yahya Hussin.

Pada 19 Oktober tahun lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan 16 Sept sebagai cuti umum mulai tahun ini bagi menyambut Hari Malaysia.

Sementara itu, sempena bulan kemerdekaan ini Musa meminta rakyat negeri ini untuk sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang.

Kempen mengibar jalur gemilang boleh menjadi wadah untuk menyemarakkan lagi semangat patriotisme dan cintakan negara serta memupuk perpaduan di kalangan pelbagai lapisan rakyat, katanya.

Beliau turut melahirkan rasa kesal kerana masih banyak premis yang tidak mengibarkan jalur gemilang walaupun arahan secara bertulis telah dikeluarkan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain