suria

Rela Letak 20 Anggota Kawal Depot Tahanan

HULU SELANGOR: Pasukan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) kini menempatkan 20 anggotanya di setiap depot tahanan Imigresen di seluruh negara bagi meningkatkan kawalan keselamatan pusat itu.

Ketua Pengarahnya Datuk Zaidon Asmuni berkata langkah itu dilaksana sejak tiga hari lepas berikutan insiden 20 pendatang tanpa izin Afghanistan melarikan diri dari depot tahanan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 1 Ogos lepas.

"Kita telah mengarahkan anggota kita untuk mengawal di luar depot selama 24 jam tanpa henti," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pendaftaran Anggota Baru dan Semarak Bulan Kemerdekaan, di sini, Ahad.

Sementara itu mengulas isu berkaitan, beliau berkata jumlah anggota Rela dijangka meningkat daripada 1.3 juta kepada 2.5 juta menjelang akhir tahun ini.

"Usaha mempercepatkan sasaran keanggotaan ini adalah untuk menyambut arahan Ketua Setiausaha (Kementerian Dalam Negeri), bagi membantu masyarakat semasa keadaan aman atau darurat dan difokuskan kepada golongan belia," kata Zaidon.

Bagaimanapun, beliau mengakui golongan muda kurang berminat menyertai pasukan tersebut memandangkan imbuhan yang diberi agak kecil. Dalam pada itu katanya, Rela telah menandatangani satu memorandum dengan Rakan Muda bagi merekrut 300,000 anggota pertubuhan itu menyertai mereka. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain