suria

Polis Cari Dua AJK Kuil Bantu Siasatan Kematian Adik Lingam

KUALA LUMPUR: Polis sedang mencari dua anggota jawatankuasa sebuah kuil bagi membantu siasatan kes pembunuhan adik bongsu peguam Datuk V.K Lingam.

Ketua Polis Daerah Serdang Supt Abd Razak Elias berkata mereka ialah D.K Saravanan, 29, dan M. Devidasan, 30, yang merupakan Anggota Jawatankuasa (AJK) kuil tempat mangsa bekerja.

Polis telah membuat serbuan di Kuil Avdiar Muniswarar, Puchong tetapi tidak menemui kedua-dua mereka yang dipercayai dapat membantu siasatan kes pembunuhan Rajendram Velupillai, katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Abd Razak berkata Saravanan mempunyai ketingggian kira-kira 170 sentimeter, berambut pendek, bermuka bujur sirih dan berbadan tegap, manakala Devidasan atau dikenali sebagai 'Dass' mempunyai ketinggian 167 sentimeter, berambut pendek, bermuka bulat, berjanggut dan berbadan tegap.

Kedua-dua mereka bekerja sendiri, katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua lelaki itu diminta menghubungi talian 03-8948 4822 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Pada 3 Ogos lepas, Rajendram ditemui mati kira-kira pukul 3 pagi di sebuah stesen minyak di Bandar Puteri Puchong selepas dipercayai dipukul tiga lelaki di sebuah kuil.

Berikutan itu, polis menahan seorang suspek berusia 30 tahun pada Sabtu lepas dan setakat ini seramai 16 orang saksi tampil memberi keterangan.

Abd Razak berkata polis telah meminta Lingam tampil untuk memberi keterangan dan beliau dijangka berbuat demikian dalam masa terdekat.

Semalam keluarga Lingam menawarkan ganjaran RM50,000 kepada pemberi maklumat sehingga tertangkapnya suspek kes pembunuhan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain