suria

Malaysia Airlines Pilih Kota Kinabalu Sebagai Hab Timur

KOTA KINABALU: Malaysia Airlines hari ini mengumumkan ia telah memilih Kota Kinabalu sebagai Hab Timur, dengan tumpuan kepada pasaran China, Taiwan, Asia Utara, Indonesia dan Australia.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tengku Datuk Azmil Zahruddin berkata hab itu akan dibangunkan dalam tiga peringkat mulai 15 November hingga 3 Jun tahun depan, di mana destinasi dan kekerapan penerbangan baharu akan ditambah untuk meningkatkan perkhidmatan kepada bandaraya yang disambungkan dari Kota Kinabalu.

"Kami memilih Kota Kinabalu di Sabah untuk mengambil peluang daripada lokasi strategik bandaraya itu sebagai gerbang untuk mempromosi perjalanan antara pasaran yang disebutkan.

"Ini adalah waktu yang sesuai untuk membangunkan hab ini di Asia. Ia memberikan kita peluang untuk membangun dari segi perolehan, faktor muatan dan destinasi - kami menjangka potensi peningkatan antara RM60 juta dan RM100 juta setahun kepada keuntungan syarikat," katanya apabila membuat pengumuman itu di sini.

Untuk mempercepatkan pembangunan hab itu, seramai 150 juruteknik penerbangan dan 250 kru penerbangan serta enam pesawat - dua B737-800 dan empat B734 - akan berpangkalan di sana sebelum Jun tahun depan.

Destinasi baharu pertama yang diperkenalkan adalah perkhidmatan tanpa henti tiga kali seminggu ke Haneda (Tokyo) mulai 15 November 2010, diikuti ke Osaka mulai 15 Januari 2011.

Penerbangan ke Seoul pula akan ditingkatkan pada Januari kepada empat penerbangan seminggu berbanding dua kali seminggu sekarang.

"Menjelang Jun 2011, Kota Kinabalu akan menawarkan penerbangan harian ke Taipei dan Hong Kong, penerbangan empat kali seminggu ke Kaohsiung (Taiwan) dand Seoul, dan tiga perkhidmatan seminggu ke Haneda dan dua kali seminggu ke Osaka.

Pada masa yang sama, Kuching akan mempunyai akses kepada destinasi antarabangsa ini apabila penerbangan ke Kota Kinabalu ditingkatkan kepada 25 penerbangan seminggu, daripada 14 penerbangan seminggu sekarang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain