suria

Kes Penyakit Kulit Di Raub Bukan Sebab Pencemaran Udara

KUANTAN: Kes jangkitan kulit yang dialami segelintir penduduk di sekitar Raub bukan berpunca daripada pencemaran udara, demikian persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang diberitahu Isnin.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan negeri Datuk Hoh Khai Mun berkata sebaliknya jangkitan berpunca daripada pelbagai faktor termasuk cuaca serta masalah kulat atau fungus.

"Selepas menerima aduan penduduk, seorang pakar perunding kanan dermatologi dari Hospital Tengku Ampuan Afzan telah dihantar ke Hospital Raub untuk meneliti kes jangkitan.

"Seramai 63 penduduk daripada 65 yang didaftarkan mengalami masalah kulit hadir untuk diperiksa oleh pakar itu dan hasilnya 24 orang didapati mempunyai alahan penyakit kulit," katanya menjawab soalan Choong Siew Onn (DAP-Tras) di sini.

Hoh berkata hasil pemeriksaan pakar itu juga menolak dakwaan jangkitan penyakit kulit tersebut berpunca daripada keracunan kimia.

Choong kemudian bertanya sama ada kerajaan negeri akan mengadakan kajian lanjut mengenai kes itu, namun Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob bangun mencelah mengatakan pembangkang mahu bermain politik kerana cuba mengaitkan penyakit dengan lombong emas di Bukit Koman untuk mengelirukan penduduk Raub.

"Anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri telah diberi taklimat sebanyak dua kali oleh pakar perunding termasuk pakar perunding bebas dari Universiti Sains Malaysia yang menyatakan kejadian berkenaan tiada kaitan dengan lombong itu," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan-badan bukan Kerajaan Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz berkata seramai 1,854 orang ditahan atas kesalahan khalwat di seluruh Pahang bagi tempoh lima tahun lepas.

Daripada jumlah itu, 121 merupakan isteri dan suami orang, 1,289 remaja, 267 pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi serta 177 penjawat awam katanya menjawab soalan Syed Mohammed Tuan Lonnik (PAS-Beserah). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain