suria

Kerajaan Iran Tawar Kepakaran Dalam Teknologi Tenaga Nuklear

KUALA LUMPUR: Kerajaan Iran berminat menawarkan kepakaran mereka dalam teknologi tenaga nuklear dengan bekerjasama dengan Malaysia untuk membangunkan tenaga tersebut di negara ini.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata hasrat itu disampaikan sendiri oleh Duta Besar Iran ke Malaysia Prof Dr Mohammad Mehdi Zahedi ketika menegunjungi beliau di pejabatnya di Parlimen, Isnin.

Dr Wan Junaidi berkata Malaysia masih belum membuat sebarang keputusan muktamad mengenai pembangunan teknologi tenaga nuklear sebagai pilihan penjanaan elektrik negara, kerana pelbagai perkara perlu diperhalusi.

"Mereka dengar kita berminat tubuhkan tenaga nuklear, jadi mereka hendak bekerjasama dengan Malaysia...dan saya katakan ketika ini ia masih di tahap terlalu awal.

"Ini kerana kerajaan masih berbincang dengan semua pihak termasuk rakyat Malaysia yang tidak bersetuju dengan cadangan tenaga nuklear ini, jadi saya katakan kepada mereka kena tunggu bila keputusan akan dibuat," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Dr Mohammad Mehdi.

Bulan lepas, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Peter Chin Fah Kui berkata kerajaan akan membuat keputusan muktamad mengenai pembangunan teknologi nuklear sebagai pilihan penjanaan elektrik negara selepas mengambilkira hasil kajian yang dibuat dalam menyediakan Pelan Pembangunan Infrastruktur Tenaga Nuklear (NPIDP) yang dijangka siap pada 2013.

Dalam perkembangan lain, Dr Wan Junaidi berkata kerajaan Iran mengalu-alukan rakyat negara ini khususnya belia untuk turut serta dalam program "Hari Bersuara" yang diadakan kedutaan itu bertujuan mengumpul lebih banyak 'suara' bagi menentang kekejaman rejim Israel terhadap Palestin.

"Voice Day" ini akan diadakan pada hari Jumaat terakhir bulan Ramadan bukan saja di Malaysia tetapi juga di negara mereka untuk menyokong perjuangan Palestin terhadap Israel.

"Kita tiada masalah untuk itu kerana memang kita menyokong perjuangan ini, tapi mereka perlu tentukan bila dan di mana serta mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa," katanya.

Pada pertemuan yang berlangsung selama 45 minit itu, kedua-dua mereka turut membincangkan mengenai rancangan Dr Wan Junaidi untuk melawat Iran pada Oktober ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain