suria

Kerajaan Akan Putuskan Konsesi Bagi Projek Loji Kuasa Tambahan

KUALA LUMPUR: Salah satu pengeluar kuasa di negara ini Tenaga Nasional Bhd, MMC Corporation Bhd dan Jimah Energy Ventures akan dipilih untuk membangunkan kapasiti kuasa tambahan untuk menangani masalah kekurangan kuasa di Semenanjung Malaysia.

Adalah dilaporkan bahawa kuasa yang akan dijana oleh stesen hidro elektrik Bakun di Sarawak tidak akan disambung ke Semenanjung Malaysia seperti yang dirancang pada 2015 kerana ia akan digunakan untuk membangunkan Koridor Kuasa Diperbaharui Sarawak (Score).

Berikutan itu, wujud risiko bahawa tanpa kuasa dari Bakun, akan menimbulkan keadaan margin rezab merosot di bawah 20 peratus.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Tenaga Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali, kerajaan akan membuat pengumuman mengenai perkara itu tidak lama lagi.

"Pihak kerajaan akan membuat keputusan tidak lama lagi atas cadangan daripada Suruhanjaya dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berhubung siapa (syarikat) yang akan melaksanakan projek ini," katanya kepada pemberita di luar acara Forum Tenaga 2010 di sini Isnin.

Bagaimanapun, sehingga ini, katanya kerajaan masih belum memutuskan kaedah kontrak itu akan dilaksanakan.

"Kita berharap keputusan segera akan dibuat supaya pihak (syarikat) yang akan dipertanggungjawabkan untuk menambah kapasiti tenaga yang menggunakan arang batu dapat beroperasi pada 2015," katanya.

"Kita mempunyai kapasiti untuk membangunkan stesen-stesen jana kuasa baru di tempat lain. Tetapi, disebabkan kesuntukan masa (menjelang 2015), kita akan pilih antara tiga tempat ini," katanya.

Ahmad Tajuddin menjelaskan bahawa langkah membangunkan projek itu pada loji kuasa sedia ada akan mengurangkan kos operasi berbanding dengan pembinaan satu loji baharu yang akan memakan masa yang lebih lama kerana ia memerlu dilakukan kajian impak alam sekitar.

Pihak industri menyatakan bahawa langkah untuk membina sesuatu loji kuasa akan memakan masa antara setahun hingga tiga tahun.

Katanya inisiatif ini akan turut membantu melengkapi usaha kerajaan mengurangkan pergantungan ke atas gas, yang kini merupakan 60 peratus daripada bahan mentah penjanaan kuasa keseluruhan.

Sebelum itu, TNB dilaporkan sebagai menyatakan bahawa ia mencadangkan untuk mengembangkan loji kuasa berkuasa arang batu di Manjung, Perak, bagi menampung permintaan mendapatkan elektrik di Semenanjung Malaysia.

Seorang penganalisis menjangka syarikat utiliti nasional itu akan memohon meningkatkan kapasiti kemudahannya di Manjung sebanyak 2,000 megawatt (MW) daripada 2,100 MW sekarang ini, pada anggaran kos antara RM6 bilion dan RM7 bilion.

Sementara itu, satu unit kuasa MMC, Malakoff Corporation Bhd yang mempunyai enam loji dengan kapasiti keseluruhan 5,020 MW, turut menimbangkan untuk mengembangkan loji berkuasa arang batunya di Tanjung Bin jika kerajaan memerlukannya, kerana kini tersedia tanah dan kapasiti transmisi untuk membekalkan kepada grid nasional.

Selain itu, Jimah memiliki lesen 25 tahun untuk mengendalikan loji berkuasa arang batu 1,400 MW dekat Port Dickson, Negri Sembilan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain