suria

Jurufoto Sambilan Ditahan Reman Kes Wanita Jatuh Dari Tingkat 12

KUALA LUMPUR: Seorang jurufoto sambilan lelaki ditahan reman enam hari bagi membantu kes kematian seorang pensyarah wanita yang dipercayai terjatuh dari Tingkat 12 sebuah kondominium di Pantai Hill Park dekat sini petang, Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata lelaki yang berusia 36 tahun itu, sebelum ini ditahan dalam tempoh 24 jam bermula petang semalam selepas penemuan mayat wanita berumur 31 tahun di parkir kondominium terbabit.

"Suspek ditahan reman sehingga 13 Ogos ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Laporan bedah siasat mendapati tiada kesan tanda dipukul atau apa-apa kesan berlaku pertengkaran dan mayat telah pun diserahkan kepada keluarga," katanya menerusi laman sosialnya di sini, Ahad.

Suspek sebelum ini ditahan ketika mundar-mandir di persekitaran kondominium terbabit sejurus penemuan mayat pensyarah itu yang mengajar di sebuah kolej undang-undang di bandaraya ini.

Polis menerima panggilan kira-kira pukul 5 petang berhubung penemuan mayat wanita oleh penghuni di laluan kawasan parkir kondominium terbabit, Sabtu.

Mayat ditemui tertiarap dengan kesan kecederaan parah di kepala dan kemudiannya dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain