suria

JPM Nafi Sembunyi Punca Kematian Dan Masalah Kesihatan Banduan

KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara Malaysia (JPM)menegaskan bahawa ia tidak menyembunyikan punca kematian dan masalah kesihatan banduannya serta akan melaporkan setiap kes kematian kepada pihak polis.

Pegawai Perhubungan Awamnya Za'aba Abu Bakar dalam satu kenyataan Isnin berkata, JPM sentiasa memberi keutamaan terhadap penjagaan kesihatan serta kebajikan semua banduan.

Mengulas berhubung laporan media mengenai kematian tahanan reman di Mahkamah Majistret Kuantan, Za'aba berkata JPM tidak akan memaklumkan kepada keluarga banduan sekiranya banduan itu mengalami sakit biasa kecuali doktor yang merawat mengesyorkannya atau sekiranya didapati banduan itu mengalami sakit yang serius.

Pada 6 Ogos lepas, seorang tahanan reman bersabit kes dadah, Wan Khairul Azizi Wan Ali, 36, secara tiba-tiba rebah dan meninggal dunia sebelum sempat kesnya disebut di hadapan majistret.

Ekoran kejadian itu, ibu bapanya mempertikaikan tindakan pihak penjara yang tidak pernah memaklumkan kepada mereka mengenai tahap kesihatan anak mereka.

Za'aba menjelaskan Wan Khairul sepanjang tempoh tahanannya, hanya sekali mengadu kurang sihat (kurang makan, batuk dan sakit mulut) iaitu pada 4 Ogos dan telah diberikan rawatan oleh doktor panel penjara pada hari yang sama.

Beliau juga berkata pada hari Wan Khairul dibawa ke mahkamah, dia langsung tidak mengadu kurang sihat atau mengalami apa-apa masalah kesihatan.

Sekiranya pada tarikh itu beliau mengadu tidak sihat, sudah tentu pemeriksaan dan rawatan kesihatan lanjut serta status kelayakannya untuk diiringi ke mahkamah akan dinilai, katanya.

Za'aba berkata JPM sedang menjalankan siasatan berhubung kes itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain