suria

JPJ Ubah Strategi 'Takutkan' Pengguna Jalan Raya

KUALA TERENGGANU: Pengguna jalan raya yang mahu pulang ke kampung halaman sempena Hari Raya nanti akan 'ditakut-takutkan' supaya lebih berhai-hati semasa memandu bagi mengelakkan kemalangan.

Tidak seperti tahun lalu, perjalanan pulang ke kampung kali ini tidak diserikan dengan habuan makanan dan minuman.

Sebaliknya, apa yang menanti mereka di kawasan rehat adalah gambar-gambar mangsa yang terlibat dalam kemalangan dan kecederaan serius bagi mengingatkan orang ramai supaya memandu dengan lebih berwaspada.

Ia adalah langkah berjaga-jaga yang ditekankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk membendung kadar peningkatan kemalangan di jalan raya ketika musim perayaan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, sudah tiba masanya mereka memperkenalkan taktik untuk 'menakut-nakutkan' memandangkan kempen pada tahun lalu tidak menampakkan kesan.

Pada Hari Raya tahun lalu, 261 kes kemalangan maut dicatatkan berbanding 208 kes pada 2008 dan 225 pada 2007.

"Daripada ucapan Selamat Hari Raya, pegawai-pegawai kami akan menyampaikan pesanan Selamat Gunakan Jalan Raya," katanya selepas menghadiri majlis komuniti JPJ di penempatan Orang Asli di Sungai Berua dekat Kuala Berang.

Sudah menjadi amalan saban tahun pengguna jalan raya yang pulang ke kampung dihidangkan dengan makanan dan minuman ringan di kawasan rehat dan stesen minyak terpilih.

Bagi menyampaikan mesej itu dengan lebih berkesan, Solah berkata, risalah-risalah yang mengandungi statistik kemalangan yang berlaku di lokasi panas dan angka kematian juga akan diedarkan.

Katanya, kira-kira 202 jalan raya dan lebuh raya telah dikenal pasti sebagai lokasi panas yang patut diberikan perhatian seca4ra khusus ketika orang ramai balik ke kampung pada Hari Raya ini.

"Ia merangkumi penguatkuasaan ketat dan pengawasan sepanjang masa," tambahnya.

Solah berkata, seramai 4,000 pegawainya akan ditempatkan di 36 buah terminal bas seluruh negeri sehari seminggu sebelum dan sehari selepas lebaran untuk memeriksa keadaan bas ekspres, lesen pemandu, buku log dan melakukan ujian air kencing dengan kerjasama unit anti-narkotik.

Tambahnya, pemandu teksi juga akan dikenakan tindakan jika cuba mengenakan tambang berlebihan kepada penumpang atau enggan menggunakan meter.

Artikel Sebelum

Artikel Lain