suria

EU Harap Mulakan Rundingan Dengan Malaysia Pada Luar Sidang ASEM

KUALA LUMPUR: Kesatuan Eropah (EU) berharap untuk memulakan perundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Malaysia pada luar jadual Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) pada awal Oktober ini.

"Kami berharap untuk melancarkan secara rasmi perundingan itu semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Brussels bersempena dengan ASEM yang dihoskan oleh Belgium," kata Duta dan Ketua delegasi EU ke Malaysia Vincent Piket.

Najib dijangka menghadiri Sidang Kemuncak Ketua Kerajaan dan Negara ASEM selama dua hari di Brussels bermula 4 Oktober ini.

"Kami telah meneroka bersama-sama jika keadaan itu kondusif untuk memulakan perundingan FTA dan memuktamadkannya. Pada peringkat ini, petunjuk yang diperolehi adalah menggalakkan," katanya kepada BERNAMA.

Piket berkata masanya kini sesuai bagi Malaysia untuk memulakan perundingan FTA bagi melengkapi matlamat negara ini untuk mencapai Model Baru Ekonomi (MBE).

"Saya melihat FTA adalah berkait rapat dengan MBE dan penekanannya menggalakkan ekonomi yang mesra perniagaan dan meningkatkan agihan sektor swasta di dalam keluaran dalam negara kasar.

"Kesemua ini bertujuan menarik perdagangan, kualiti pelaburan, modal, kemahiran dan pengetahuan dan FTA dengan EU sememangnya akan menyumbang kepada objektif ini," katanya, sambil menyatakan bahawa perdagangan dan pelaburan penting kepada pemulihan global dan pertumbuhan ekonomi.

Dengan wujud kebuntuan di dalam perundingan Pusingan Doha Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Piket berkata Malaysia dan 27 negara anggota EU perlu mengembangkan perdagangan dua hala.

Malaysia adalah rakan perdagangan kedua terbesar EU di dalam Asean selepas Singapura, yang jelas mendahului negara yang lebih besar seperti Indonesia, Thailand, Filipin dan Vietnam.

Piket berkata krisis ekonomi telah menghapuskan kira-kira 20 peratus perdagangan luar EU dan Malaysia pada tahun lepas.

Jika Perjanjian FTA dengan Malaysia dapat dimuktamadkan, katanya Malaysia akan dapat memulakan akses keutamaan ke EU, yang kini merupakan pasaran terbesar dunia. Dengan ketersediaan setengah bilion pengguna di negara anggota EU, Piket berkata ia akan menjadi satu destinasi menarik bagi eksport Malaysia.

Katanya FTA akan membuka laluan bagi hubungan perdagangan jangka panjang dan stabil Malaysia-EU.

EU adalah rakan perdagangan keempat terbesar di dunia dan sumber kedua terbesar pelaburan langsung asing, katanya. Sambil menakankan bahawa Malaysia sebagai rakan perdagangan penting kepada EU, Piket berkata kira-kira 2,000 syarikat Eropah kini beroperasi di Malaysia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain