suria

Dua Lelaki Dipenjara Dan Didenda Kerana Perdagang Manusia

KUALA LUMPUR: Pemandu teksi dan seorang peniaga masing-masing dikenakan penjara lima tahun dan didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan memperdagangkan manusia, pada 2009.

Hakim Fathiyah Idris mengarahkan Mohd Nazeri Mat Hussein, 51, dan Azhar Yusof, 33, menjalani hukuman itu secara serentak bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 7 Julai 2009.

Beliau membuat keputusan itu selepas tertuduh menukar pengakuan bersalah Isnin.

Fathiyah juga mengarahkan mereka dipenjara 60 bulan lagi jika gagal membayar denda itu.

Bagi pertuduhan pertama, mereka dikenakan penjara tiga tahun dan denda RM5,000 dan jika gagal bayar denda, dikenakan penjara enam bulan lagi, manakala bagi pertuduhan kedua mereka dikenakan penjara lima tahun dan denda RM50,000 dan jika gagal dikenakan penjara 60 bulan.

Mohd Nazeri, didakwa memperdagangkan seorang lelaki warga Myanmar, 29, bagi tujuan eksploitasi mengikut Seksyen 13 Akta Antipermerdagangan Orang 2007 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mendapatkan keuntungan RM1,500 hasil daripada dagangan itu, mengikut Seksyen 15 akta yang sama, yang mana boleh dikenakan penjara sehingga 15 tahun dan denda RM500,000 jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di belakang Kompleks Pasar , Jalan Ipoh, Sentul pada 11.30 pagi, 7 Julai 2009.

Manakala tertuduh kedua, Azhar Yusof, pula didakwa atas dua pertuduhan yang sama dan mengikut Seksyen 13 dan 15 akta yang sama, di Kompleks Maybank Jalan Ipoh, Sentul, di sini pada 1.30 petang.

Mereka tidak diwakili peguam bela.

Seorang lagi rakannya yang mengaku bersalah Ayub Jehmi@Ayub Che Mik, 50, dikenakan penjara lima tahun dan didenda RM50,000 atau dipenjara 60 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Ayub yang diwakili peguam bela Amiruddin Mohd Rosli, didakwa menerima hasil keuntungan itu sebanyak RM1,000 di Malayan Banking Kulai Jaya, Jalan Besar Johor, pada 11.55 pagi pada 9 April 2009, mengikut Seksyen 15 akta yang sama.

Sementara seorang lagi tertuduh iaitu petugas dari Jabatan Imigresen Johor, Rahman Selamat, 45, masih mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya terhadap dua pertuduhan yang sama mengikut seksyen yang sama, di Pengkalan Haram Kertas, Kampung Guah Tok Deh, Rantau Panjang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 12.30 pagi hingga 1 pagi, 9 April 2009.

Sehubungan dengan itu, mahkamah menetapkan Rabu depan untuk sambung bicara untuk tertuduh, Rahman.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dasuki Mokhtar.

Ketiga-tiga tertuduh masih gagal membayar denda itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum