suria

Anggota Rela Sertai Konvoi Jelajah Merdeka Maut Kemalangan

HULU SELANGOR: Seorang Anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) yang menyertai Konvoi Jelajah Merdeka Rela 1Malaysia Bermotosikal 2010 maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum dilanggar sebuah kereta di Jalan Ulu Yam-Sungai Tua, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 7.25 malam ketika Mohd Razali Kamaruddin, 33, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Klang selepas selesai sambutan ketibaan konvoi di sini.

Kejadian berlaku di kawasan berselekoh dan Mohd Razali dipercayai terbabas sebelum terjatuh dan dilanggar oleh sebuah kereta dari arah bertentangan.

"Mangsa mati di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohd Razali adalah antara 110 anggota Rela yang menyertai konvoi menjelajah negara sejak 31 Julai lepas dan mereka dijadual menamatkan jelajah itu di Pasar Seni, Isnin.

Artikel Sebelum

Artikel Lain