suria

Utamakan Kualiti Pembantu Rumah Indonesia Berbanding Gaji

PETALING JAYA: Permintaan Indonesia yang ditolak Malaysia berhubung penetapan gaji minimum pembantu rumah atau amah dipersetujui kerana pendapatan bukan faktor utama, namun sebaliknya adalah kualiti.

Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Baayah Baba berkata, apa yang perlu diutamakan adalah kualiti amah itu.

“Adakah mereka (amah) yang mahu diberikan gaji minimum ini benar-benar setimpal dengan kualiti membuat kerja-kerja rumah atau memberi masalah?

“Permintaan gaji minimum tidak salah, tetapi adalah lebih baik sekiranya Indonesia memikirkan cara untuk menetapkan kelayakan minimum amah terlebih dahulu untuk berkhidmat di Malaysia,” katanya kepada mStar Online pada Ahad.

Beliau mengulas keputusan Malaysia yang menolak permintaan Indonesia itu berikutan negara ini sendiri tidak mempunyai struktur gaji minimum.

Alasan itu merupakan antara penyebab memorandum persefahaman antara Malaysia dan Indonesia mengenai pembantu rumah belum dapat dimuktamadkan.

Malaysia belum mengamalkan konsep gaji minimum kerana berdasarkan pendirian memang sejak dahulu, gaji diasaskan oleh kuasa pasaran yang menjadi dasar kerajaan pada masa sekarang.

Baayah berkata, pembantu rumah Indonesia sering bermasalah berdasarkan kes dan pengalaman sebelum ini yang dilaporkan kepada umum.

Tambahnya, penstrukturan kualiti itu boleh dilakukan menerusi institusi latihan bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka berkaitan tugasan pembantu rumah.

“Jika amah mempunyai kemahiran, terlatih dan pandai membuat kerja-kerja rumah sudah tentu boleh ditawarkan gaji tinggi setanding kualiti.

“Tugas mereka merujuk kepada perkhidmatan. Jika perkhidmatan mereka bagus, majikan mungkin tidak kisah untuk membayar gaji lebih kerana berbaloi,” katanya.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S. Subramaniam turut berpendapat gaji tinggi boleh ditawarkan kepada mereka yang berkemahiran dan dilatih khusus untuk bekerja di negara ini.

S. Subramaniam berkata, gaji boleh diasaskan kepada kemahiran di mana mereka yang kemahiran boleh diberi gaji lebih tinggi berbanding mereka tidak mempunyai kemahiran.

Indonesia membekukan pembekalan pembantu rumah ke Malaysia pada Jun 2009 berikutan beberapa kes penderaan pembantu rumah selain ketiadaan faedah pekerjaan seperti gaji minimum bulanan dan cuti rehat mingguan.

Kuala Lumpur dan Jakarta menandatangani Surat Hasrat pada Jun lepas bagi memberi dimensi baru terhadap pengambilan pembantu rumah di Malaysia dan kedua-dua negara bersetuju terhadap terma-terma yang dikaji semula.

Dalam pada itu, Baayah menyifatkan penetapan gaji minimum bagi pembantu rumah Indonesia hanya meningkatkan pengaliran tunai ke negara itu.

Menurut beliau, penetapan gaji minimum itu seolah-olah menyediakan paras yang meningkatkan gaji amah berbanding sebelum ini.

“Kebanyakan rakyat Indonesia yang datang ke negara untuk bekerja disebabkan peluang pendapatan lebih baik. Ini termasuk kerja sebagai pembantu rumah.

“Jika mereka melihat pembantu rumah tidak menjanjikan pendapatan yang memberikan jaminan, mereka sudah tentu tidak akan ke negara ini untuk bekerja,” katanya.

Beliau menambah, walaupun gaji amah mungkin tidak banyak, namun ia membolehkan mereka mengirimkan sejumlah wang kepada keluarga di Indonesia.

“Keadaan ini hanya akan meningkatkan pengeluaran aliran tunai. Ini sudah pasti memberi kesan kepada ekonomi dan nilai mata wang ringgit.

"Jika kita mahu juga meningkatkan gaji minimum untuk pembantu rumah, adalah lebih baik dilaksanakan untuk rakyat tempatan yang melakukan pekerjaan itu demi menjaga keseimbangan ekonomi negara,” ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain