suria

Malaysia Belum Terima Laporan Rakyat Tempatan Diperdagangkan Di Luar Negara

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) belum menerima sebarang laporan berhubung adanya rakyat Malaysia yang diperdagangkan di luar negara, kata Timbalan Menterinya Datuk Wira Abu Seman Yusop.

Tanpa menolak kemungkinan adanya rakyat Malaysia terlibat diperdagangkan di luar negara, beliau berkata ia bagaimanapun sukar disahkan kerana tidak ada pihak yang tampil membuat laporan.

"Saya tidak mendapat laporan mengenai kes itu," katanya ketika ditanya sama ada terdapat rakyat Malaysia yang diperdagangkan di luar negara.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan program 'Hentikan Perdagangan Manusia Di Kalangan Kanak-Kanak dan Golongan Muda' anjuran sebuah syarikat produk kecantikan, Abu Seman berkata, rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan di luar negara perlu membuat laporan di kedutaan Malaysia supaya tindakan dapat diambil.

"Saya menyeru mana-mana mangsa yang telah menjadi mangsa sindiket pemerdagangan di luar negara atau mengetahui mengenai perkara ini supaya membuat laporan kepada pihak berkuasa di sana dan juga kepada kedutaan Malaysia di luar negara," katanya.

"Bila ada laporan baru kita dapat ambil tindakan...jika tiada (laporan) bagaimana kita mahu bertindak.

"KDN tahu jika rakyat luar diperdagangkan di sini sebab kita menjadi ejen pelaksanaan (pasukan penguatkuasa) di negara kita, tetapi tidak tahu jika rakyat kita diseludup masuk ke luar kerana sepatutnya negara itu yang menjadi ejen pelaksanaan di negara masing-masing," katanya.

KDN telah memperketatkan dan memperhebatkan penguatkuasaan selepas pindaan Akta Anti Pemerdangangan Orang 2007 diluluskan di Parlimen baru-baru ini ekoran Malaysia menjadi negara tumpuan dalam kes pemerdagangan manusia.

"Kebanyakan mereka yang menjadi mangsa pemerdagangan di negara ini selalunya mempunyai pas lawatan sosial atau pas pelancong. Jadi kita susah nak kesan adakah mereka benar-benar menjadi mangsa atau sebaliknya," katanya.

Beliau berkata, Malaysia sememangnya serius dan amat komited dalam usaha menangani jenayah pemerdagangan orang apabila seramai 363 orang yang disyaki menjadi dalang sindiket itu diberkas dalam tempoh Feb 2008 hingga Julai 2010.

"Dalam tempoh itu juga seramai 484 mangsa dari 19 buah negara termasuk Indonesia berjaya diselamatkan dan diberi perintah perlindungan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain