suria

Terap Nilai Murni 1Malaysia Untuk Realisasikan Komuniti Asean

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penerapan nilai-nilai murni konsep 1Malaysia di kalangan rakyat negara ini akan membolehkan semangat kerjasama dan kekitaan antara masyarakat Asean dihayati bagi merealisasikan Komuniti Asean menjelang tahun 2015.

Perdana Menteri berkata usaha Asean untuk merealisasikan Komuniti Asean menjelang tahun itu merupakan tanggungjawab setiap warga Asean termasuk rakyat Malaysia.

Semangat kerjasama dan kekitaan antara masyarakat Asean adalah bertepatan dengan moto Asean "Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti", katanya dalam kenyataan sempena Hari Asean ke-43 yang akan disambut, Ahad.

"Penghayatan semangat ini dapat kita mulakan di Malaysia melalui penerapan nilai-nilai murni konsep 1Malaysia," kata beliau.

Menurutnya kesedaran dan peranan masyarakat Asean khasnya rakyat Malaysia penting dalam menjayakan Asean sebagai satu pertubuhan yang kukuh dan mapan.

"Adalah penting bagi kita semua menerapkan nilai-nilai Cara-cara Asean dalam merealisasikan Komuniti Asean yang bukan sahaja dapat dilihat pada zahirnya, malah kaya dengan nilai-nilai penghayatan," katanya.

Najib berkata dalam mewujudkan komuniti Asean yang bersepadu, perhubungan antara masyarakat merupakan satu elemen yang tidak boleh dinafikan kepentingannya.

Bagi meningkatkan tahap perhubungan dan interaksi antara masyarakat Asia Tenggara, kesalinghubungan serantau melalui pembangunan jaringan prasarana fizikal, perdagangan, pelaburan, pelancongan, integrasi budaya, teknologi maklumat dan komunikasi juga perlu ditingkatkan, kata beliau.

Pertubuhan rantau itu sedang merangka sebuah Pelan Kesalinghubungan Asean bagi meningkatkan kesalinghubungan di rantau ini secara menyeluruh, susulan daripada kenyataan Ketua-Ketua Negara Kerajaan Asean mengenai Kesalinghubungan Asean pada Sidang Kemuncak Asean di Thailand tahun lepas.

Beliau juga berkata mulai tahun ini, kerjasama ekonomi Asean telah melalui proses tranfsormasi yang amat memberangsangkan menerusi penguatkuasaan Perjanjian Perdagangan Bebas Asean (FTA) dengan beberapa rakan dialog seperti China, India, Jepun, Australia, New Zealand dan Korea Selatan.

"Perdagangan bebas merupakan tulang belakang kepada peningkatan perdagangan di antara Asean dengan negara-negara rantau lain. Aliran bebas barangan dan perkhidmatan dapat diwujudkan serta membantu membangunkan ekonomi negara-negara anggota melalui peluang-peluang pekerjaan sekaligus meningkatkan taraf kehidupan masyarakat Asean," katanya.

Beliau yakin usaha-usaha sedemikian dapat membantu Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Najib juga berkata Malaysia wajar mengambil peluang untuk bekerjasama dengan rakan-rakan dialog Asean dan memanfaatkan dana sedia ada untuk kepentingan bersama.

"Sepanjang beberapa dekad lalu, kerjasama Asean dengan rakan dialog telah menyumbang kepada kejayaan hubungan luar Asean.

Pelbagai program telah diadakan di mana rakan-rakan dialog merupakan penyumbang utama dana untuk projek pembangunan prasarana, pembangunan modal insan dan pendidikan," katanya.

Beliau juga menyeru rakyat Malaysia agar turut serta dalam usaha-usaha meningkatkan penghayatan dan pengetahuan terhadap Asean melalui penganjuran pelbagai aktiviti.

"Bagi merealisasikan Komuniti Asean menjelang 2015, penting bagi segala usaha ini mendapat sambutan segenap lapisan masyarakat terutama generasi muda yang bakal menjadi pemimpin pada masa akan datang," katanya.

Asean dianggotai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. - BERNAMA

Artikel Lain