suria

SPR Peruntuk RM30 Juta Untuk Pilihan Raya Negeri Sarawak

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperuntukkan RM30 juta untuk mengendalikan pilihan raya Sarawak melibatkan 71 kerusi Dewan Undangan Negeri yang penggalnya berakhir pada Julai depan.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pihaknya juga sudah bersedia menghadapi pilihan raya itu yang boleh diadakan pada bila-bila masa tahun ini atau sebelum Julai tahun depan.

"SPR memang sedia sepanjang masa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Gerakan Perdana Pendaftaran Pemilih peringkat negeri, di sini, Sabtu.

Pada pilihan raya negeri yang berlangsung pada 2006, SPR membelanjakan RM31 juta dan sebahagian besar daripada peruntukan itu adalah untuk penggunaan helikopter bagi kawasan yang sukar dihubungi menerusi jalan darat dan air.

Mengenai gerakan mendaftarkan pengundi baru, Abdul Aziz berkata SPR mensasarkan pendaftaran 450,000 pengundi Sarawak yang layak.

"Setakat 31 Mac tahun ini dianggarkan sebanyak 34 peratus atau 479,553 warganegara yang telah berumur 21 tahun ke atas tapi belum mendaftar sebagai pemilih di Sarawak," katanya.

Beliau berkata SPR juga telah melancarkan 187 program untuk mendaftarkan pengundi baru di negeri itu bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini namun hanya 4,726 pemilih berbuat demikian.

Justeru katanya, parti-parti politik di Sarawak harus memainkan peranan lebih aktif untuk membantu SPR mendaftarkan pengundi baru bagi memastikan lebih ramai dapat menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya akan datang.

Terdahulu ketika berucap, Abdul Aziz berkata sehingga Mac lepas, seramai 940,942 rakyat negeri itu telah berdaftar sebagai pemilih.

Trend pendaftaran juga menunjukkan peningkatan bagi tempoh dua tahun lepas iaitu seramai 29,278 pemilih baru didaftar tahun lepas berbanding 18,830 pada tahun 2008, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain