suria

Plus Jangka Tambah Diskaun 10 Peratus Sempena Aidilfitri

PETALING JAYA: Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) akan menawarkan diskaun tol sebanyak 10 peratus lagi kepada pengguna kereta persendirian yang menggunakan dua lebuhraya PLUS di luar waktu puncak sempena perayaan Aidilfitri.

Pengurus Besar Komunikasi Korporat PLUS, Khalilah Datuk Mohd Talha berkata pengumuman mengenai tawaran itu akan diumumkan tidak lama lagi.

Beliau berkata tawaran diskaun itu merupakan tambahan kepada diskaun 10 peratus yang sedang dinikmati oleh pengguna kenderaan persendirian yang menggunakan kedua-dua lebuh raya PLUS iaitu Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite).

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menyampaikan hadiah kepada para pemenang Formula PLUS Media Go-Kart Endurance Challenge 2010 di litar Speedway PLUS di kawasan rehat dan rawat USJ, Lebuhraya Elite di sini, Sabtu.

Pada kejohanan itu, pasukan Malay Mail berjaya merangkul tempat pertama dengan membawa pulang piala serta wang tunai bernilai RM5,000, diikuti dengan pasukan TV3 PO-NAI Racing Team yang membawa pulang piala dan wang tunai RM4,000 manakala hadiah tempat ketiga dimenangi pasukan 1MOTOR dengan membawa pulang piala serta wang tunai RM3,000.

Sebanyak 30 pasukan termasuk petugas media cetak dan elektronik menyertai pertandingan tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain