suria

PGM Tawau Rampas Pelbagai Barangan Seludup Bernilai Lebih RM64,000

TAWAU: Pasukan Gerakan Marin (PGM) Tawau menggagalkan cubaan menyeludup keluar pelbagai barangan termasuk barangan kawalan bernilai RM64,996.25 dalam tiga kes berasingan, Jumaat.

Pegawai Markas Operasi PGM Tawau ASP Mohammad Ismail berkata barangan kawalan yang dirampas ialah gula (1,705kg), minyak masak (633kg), tepung gandum (60kg), gas memasak (37 tong), minuman keras (60 botol) dan daging ayam (610kg).

Bercakap kepada pemberita di sini Sabtu, Mohamad berkata dalam kes pertama, pihaknya merampas gula seberat 624kg, minyak masak (565kg) dan tepung gandum (60kg) selepas memeriksa sebuah bot penumpang Tawau-Nunukan pada pukul 3.30 pagi.

Pemeriksaan ke atas bot penumpang Tawau-Nunukan kedua pula membawa kepada rampasan 610kg daging ayam dan 60 botol minuman keras, katanya.

Dalam kes ketiga, bot PGM yang meronda di perairan Batu 4 berjaya memintas sebuah bot yang mencurigakan dan ketika pemeriksaan menemui 1,080kg gula dan 68kg minyak masak yang disorok di dalam tong ikan, serta 37 tong gas memasak.

PGM juga menahan tiga lelaki rakyat Indonesia yang berada di atas bot berkenaan dan kes disiasat mengikut Sekseyn 135 (1) (E) Akta Kastam, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain