suria

NGO Perlu Berhati-hati Keluar Kenyataan Berkaitan Isu Kaum

KUALA LUMPUR: Bekas ketua polis negara Tun Mohammed Hanif Omar, Sabtu mengingatkan badan bukan kerajaan (NGO) supaya berhati-hati dalam pengunaan bahasa apabila membicarakan isu kaum.

Katanya mereka perlu memastikan penggunaan bahasa tidak menyinggung mana-mana pihak.

Setiap pihak berhak mengeluarkan apa-apa kenyataan namun ia tidak perlu dimulakan dengan ayat yang menyinggung pihak lain, kata beliau apabila diminta mengulas mengenai terdapatnya NGO yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman berulang kali.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat tahunan ke-55 Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) di sini, Sabtu.

Mohammed Hanif berkata ini tidak bermaksud kenyataan mereka tidak boleh diterima, "cuma setiap tuntutan, ucapan-ucapan dan bahasa yang digunakan haruslah tidak menyinggung perasaan orang lain." Mohammed Hanif berkata untuk mengajukan pendapat, ada caranya.

Menyentuh mengenai cadangan beberapa pihak supaya pusat hiburan ditutup sempena bulan Ramadan, Mohammed Hanif, yang juga Timbalan Pengerusi Genting Berhad, berkata cadangan itu tidak munasabah memandangkan Malaysia mempunyai masyarakat pelbagai kaum dan tindakan berkenaan tidak adil kepada masyarakat bukan Islam.

Walau bagaimanapun, adalah munasabah bagi pusat-pusat hiburan menghalang umat Islam daripada berkunjung ke pusat-pusat hiburan sempena bulan Ramadan sewaktu umat Islam diwajibkan berpuasa, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain