suria

KPWKM Kaji Penubuhan Agensi Kawal Selia Nafkah Mangsa Penceraian Keluarga Bukan Islam

MELAKA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang mengkaji penubuhan sebuah agensi bagi mengawal selia pemberian nafkah kepada kanak-kanak mangsa penceraian yang membabitkan keluarga bukan Islam.

Timbalan Menterinya Senator Heng Seai Kie berkata agensi itu akan bertindak mengikut Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) Akta 1976.

"Agensi ini dapat menukar proses pemberian nafkah daripada proses perundangan kepada pentadbiran yang lebih mudah dan cepat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Pembangunan Undang-Undang Keluarga Abad ke-21 di Universiti Multimedia Malaysia, Bukit Beruang di sini, Sabtu.

Beliau berkata agensi itu akan mempunyai kuasa untuk menentukan jumlah nafkah, mengarahkan majikan menolak gaji ibu bapa, mencadangkan kepada mahkamah mengambil alih harta atau simpanan deposit ibu bapa yang bekerja sendiri, dan mencadangkan kepada kerajaan membekukan pembaharuan cukai jalan, lesen memandu, lesen perniagaan dan pasport.

Katanya, setakat ini, tiada cadangan untuk meluaskan bidang kuasa agensi ini kepada keluarga Islam kerana Mahkamah Syariah sedia ada dilihat mampu mengawal selia proses pemberian nafkah.

Heng berkata cadangan penubuhan agensi itu merupakan inisiatif baru KPWKM yang turut mengkaji untuk mengemas kini undang-undang keluarga di negara ini.

Beliau berkata inisiatif lain termasuk menubuhkan Mahkamah Keluarga untuk mengurus isu perundangan berkaitan keluarga bukan Islam berdasarkan Akta 1976 yang sebelum ini diuruskan oleh mahkamah sivil.

Mengulas isu menggalakkan perkahwinan remaja pada usia muda, Heng berkata ia menyumbang kepada kadar penceraian yang tinggi serta mengundang pelbagai masalah, terutamanya masalah sosial.

"Usia muda iaitu umur bawah 18 tahun ialah masa keemasan untuk seseorang memperkayakan dirinya sendiri dengan pendidikan, dan masa itu, kalau ikut perkembangan mental mereka, mereka tidak dapat membuat keputusan terbaik untuk menentukan hala tuju hidup mereka," katanya.

Sementara itu, beliau berkata KPWKM juga amat bimbang dengan tahap ketagihan Internet di kalangan remaja dan berkata pelbagai usaha perlu dilakukan supaya golongan itu tidak terdedah dengan gejala negatif yang dipaparkan menerusi media baru itu. - BERNAMA

Artikel Lain